SUBANG JAYA – Masalah banjir berulang dan kesesakan trafik yang semakin serius menjadi punca penduduk Kampung Bukit Lanchong, di sini, hari ini mengadakan perhimpunan aman bagi membantah projek pembinaan pangsapuri 754 unit membabitkan dua blok setinggi 24 tingkat di kawasan berkenaan.
Perhimpunan itu turut menjadi medan penduduk menyatakan rasa tidak puas hati mereka kepada pihak berkuasa dengan menyerahkan memorandum bantahan kepada Sultan Selangor dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada Selasa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Pangsapuri Kampung Bukit Lanchong, Mohd Soba Mohd Jauhari berkata, projek berkenaan bukan sahaja menambah tekanan kepada infrastruktur sedia ada malah berpotensi mengancam keselamatan penduduk kampung yang rumahnya terlalu hampir dengan tapak pembinaan.
“Kampung ini sudah lama berdepan masalah banjir, kalau hujan empat jam sahaja lorong-lorong lama akan dinaiki air. Selesaikan dahulu isu saliran dan longkang, barulah fikirkan pembangunan baru.
“Selain itu, bayangkan rumah-rumah di sini tidak sampai satu meter daripada pagar tapak projek. Kalau ada batu jatuh dari atas, siapa yang mahu bertanggungjawab?” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan tersebut.
Menurutnya, penduduk tidak menolak pembangunan, namun kecewa kerana projek mega itu diluluskan tanpa sebarang rundingan telus bersama komuniti setempat.
“Sejak Mac lalu, kami sudah hantar surat kepada Menteri Besar, MBSJ, ADUN dan Ahli Parlimen. Jawapan mereka tetap sama, projek sudah diluluskan. Tapi penduduk tidak pernah ditunjukkan dokumen kelulusan itu.
“Persoalannya, kenapa projek sebegini perlu dibina di tengah kampung tradisi sedangkan masih banyak tanah kosong di Putra Heights?” ujarnya.
Mohd Soba berkata, masalah trafik juga menjadi kebimbangan utama kerana jalan keluar masuk yang sama digunakan penduduk sekitar kawasan Putra Heights sudah sedia sesak.
“Sekarang pun jalan sudah sesak setiap pagi bila hantar anak ke sekolah. Kalau tambah lagi 754 unit pangsapuri, keadaan akan jadi lebih parah. Jangan hanya lulus di atas kertas pejabat tanpa turun padang lihat keadaan sebenar.
“Penduduk mahu rundingan diadakan secara telus dengan penyertaan menyeluruh, bukannya hanya melibatkan sebilangan kecil wakil.
“Sebelum ini MBSJ hanya panggil 20 orang ke dewan mereka. Itu tidak adil. Kami mahu rundingan dibuat di kampung kami di sini agar semua penduduk boleh hadir dan suarakan pandangan,” katanya.
Selain itu, memorandum rasmi bantahan akan diserahkan kepada Sultan Selangor dan SUK pada Selasa ini sebagai langkah susulan bagi memastikan suara penduduk didengari.
Penduduk berikrar akan terus memperjuangkan bantahan ini sehingga pihak berkuasa tampil dengan penyelesaian yang adil dan telus. – MalaysiaGazette
















