Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali
Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali.

KUALA LUMPUR – Parti Bumipuitera Perkasa Malaysia (Putra) memberi sokongan penuh terhadap titah tegas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menggesa Kementerian Pertahanan (Mindef) membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk yang berusia lebih 30 tahun.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, baginda bukan sekadar nasihat, sebaliknya satu peringatan sejarah berasaskan pengalaman dan kegagalan lampau dalam pembelian aset ketenteraan negara.

“Titah tuanku merupakan suara seorang pemerintah dan ayahanda bangsa. Baginda mengingatkan rakyat tentang kegagalan projek Skyhawk yang akhirnya hanya menjadi besi buruk walaupun berbilion ringgit wang rakyat dibelanjakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, persoalan yang dibangkitkan baginda mengenai adakah mahu meletakkan juruterbang dalam keranda terbang merupakan tamparan psikologi yang menggerunkan dan membuka mata rakyat terhadap risiko keselamatan yang bakal ditanggung perajurit negara.

Katanya, Putra menyuarakan kebimbangan terhadap risiko pengoperasian helikopter usang, kos penyelenggaraan yang tinggi serta ketiadaan nilai strategik jangka panjang dalam pembelian tersebut.

“Ini bukan sahaja membazir wang rakyat, malah mengulangi kegagalan besar seperti pembelian Skyhawk dan Scorpene. Setiap kali aset lapuk dibeli, yang untung hanyalah orang tengah, manakala yang sengsara adalah rakyat dan anggota keselamatan,” tegasnya.

Mengulas pendedahan baginda mengenai campur tangan orang tengah termasuk bekas pegawai tentera yang bertindak sebagai ‘broker’, Ibrahim berkata, Putra menyifatkan perkara itu sebagai bukti kerosakan budaya komisen dan rasuah dalam Mindef yang semakin parah.

“Pertahanan negara bukan pasar malam komisen. Kerajaan Madani tidak seharusnya menggadaikan kedaulatan negara demi keuntungan kroni,” tambahnya.

Sehubungan itu, kata beliau Putra menuntut beberapa langkah drastik bagi membanteras penyelewengan dalam urusan perolehan aset pertahanan antara membatalkan segera cadangan pembelian helikopter tersebut dan beralih kepada aset baharu yang memenuhi keperluan strategik.

Antaranya, menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pertahanan bagi menyiasat semua perolehan ATM sejak dua dekad lalu, melaksanakan dasar ketelusan penuh, termasuk tender terbuka, audit awam dan kawalan Parlimen dalam setiap pembelian aset ketenteraan serta mengutamakan keselamatan nyawa perajurit, bukan keuntungan orang tengah.

“Putra turut mengingatkan rakyat isu penyelewengan dalam Mindef bukan sesuatu yang baharu, merujuk kepada projek Littoral Combat Ship (LCS) bernilai RM11 bilion yang masih gagal disiapkan walaupun pembayaran telah dibuat.

“Mindef sudah menjadi ‘bank komisen’ kepada kroni politik. Putra tidak akan berdiam diri. Kami menuntut pembersihan total dalam Mindef kerana keselamatan negara tidak boleh digadaikan lagi.

“Titah Tuanku adalah isyarat jelas supaya dihentikan segera budaya ‘keranda terbang’ dan ‘projek komisen’. Jika kerajaan masih berdegil, maka sejarah akan mencatat mereka sebagai pengkhianat kedaulatan negara,” tegasnya lagi.  – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast