KUANTAN – Polis memohon kerjasama orang awam mengesan seorang lelaki warga emas, Cheong Sang Tai @Cheong Soon Tai, 75.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan lelaki itu pada 13 Ogos lepas.
“Sehingga kini, individu tersebut masih belum dijumpai. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau berjumpa dengannya boleh tampil atau berhubung terus dengan mana-mana balai polis berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, satu poster berkaitan kehilangan pemilik kedai Choo Kong itu tular di media sosial mendakwa mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja di premis perniagaannya di bandar Kuantan pada tarikh tersebut.
Berdasarkan maklumat, Cheong yang tinggal bersendirian dipercayai memakai kemeja berwarna cerah dan berseluar panjang berwarna hitam kali terakhir dia dilihat.
Justeru, mana-mana pihak mempunyai maklumat mengenai warga emas itu diminta tampil ke balai polis terdekat. – MalaysiaGazette
















