Fatimah Latiff

MELAKA – “Saya berharap nyawa dibalas nyawa Yang Arif. Dia tak berhati perut bunuh anak dan cucu saya, sungguh kejam dia kerat-kerat badan orang macam kerat seekor ayam.

“Tangan campak ke mana, saya mahu dia dihukum gantung sampai mati,” kata Fatimah Latiff, 67, ketika memberi keterangan impak sebagai saksi pendakwaan dalam kes pembunuhan kejam anak perempuan dan cucu lelakinya, enam tahun lalu.

Ibu tunggal itu berkata demikian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Anselm Charles Fernandis di akhir pembelaan kes pembunuhan yang disabitkan terhadap menantunya, Shahrul Nizam Zuraimy, 36, sebelum dijatuhi hukuman penjara 72 tahun dan 24 sebatan.

Hukuman diarahkan berjalan secara berasingan bermula dari tarikh ditangkap pada 11 Oktober 2019.

Beliau membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan hujahan daripada peguam tertuduh, faktor pemberatan yang dikemukakan timbalan pendakwa raya dan keterangan impak adik dan ibu dan kakak mangsa.

Berdasarkan dua pertuduhan, lelaki itu didapati telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Norfazera Bidin dan Muhammad Iman Ashraf Abdullah masing-masing berumur 27 tahun dan 11 tahun ketika kejadian.

Kesalahan itu dilakukan di rumah bernombor di Jalan MJ 10, Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, dalam daerah Melaka Tengah di sini antara jam 6 petang 6 Oktober 2019 hingga 7.30 pagi 7 Oktober 2019.

Pernyataan ibu tunggal itu turut mengundang hiba ahli keluarga dan orang ramai yang berada digaleri awam apabila warga emas itu mengaku kejadian itu telah meninggalkan kesan trauma amat mendalam sejak enam tahun lalu.

“Selama enam tahun saya naik turun mahkamah, jadi trauma yang kuat sangat. Masa mandikan jenazah anak, saya sendiri tengok kesan mayat anak sendiri dikerat-kerat.

“Saya yang besarkan dia. Nyawa dibalas nyawa yang arif. Saya nak keadilan untuk anak dan cucu saya,” katanya.

Dalam pernyataan saksi kedua pendakwaan, Munirah Bidin memberitahu mayat adik dan anak saudaranya itu ditemukan dalam keadaan menyayat hati.

“Mayat dikerat, dibuang dalam hutan meninggalkan luka yang sangat dalam.

“Waktu kejadian anak bongsu adik baru dua tahun dan sekarang umurnya 8 tahun masih trauma selalu tanya mana mama dan abangnya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast