CYBERJAYA – Kerajaan sedia mempertimbangkan tambahan insentif sekali beri (one-off) RM100 kepada pelajar universiti di negara ini bagi meringankan kos sara hidup mereka yang tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu akan dibawa untuk pertimbangan dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober depan.
“Baik, kita boleh beri pertimbangan. Tetapi yang kita sudah bagi ini, yang one-off RM100, tetapi kita boleh pertimbangkan dalam belanjawan, apa-apa yang kita boleh kurangkan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberian RM100 secara one-off kepada setiap warganegara berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Mengulas lanjut, Anwar menyedari cabaran kos sara hidup, harga minyak, ayam, telur dan gula di negara namun ia masih jauh lebih rendah daripada negara lain.
Tegas perdana menteri, kerajaan sentiasa komited untuk mencari jalan penyelesaian bagi menangani kemiskinan dalam kalangan rakyat sebaik mungkin.
“Itu memang hal yang kita harus tangani dengan sebaik mungkin tetapi percayalah, bila kita naik gaji (penjawat awam) baru-baru ini, gaji menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen, tidak kita naikkan dan itu isyarat bahawa kita ada tanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette

















