JOHOR BAHRU – Kanak-kanak 10 tahun yang menghidap kanser hidung dan menjadi mangsa buli rakan sekolahnya kini mengalami kemerosotan daya ingatan.
Siti Suhana Misdi, 39, mendakwa, keadaan terkini Izzul Islam Azuan Isaidi itu berlaku
selepas mengalami gegaran dipercayai akibat kejadian buli otak baru-baru ini.
Perubahan tersebut katanya, dapat dilihat sebelum dan selepas kejadian buli pertama dan kedua.
“Sebelum ini anak memang melawan kanser hidung namun ketika itu dia masih cergas, aktif dan suka belajar berbanding selepas kejadian.
“Sebelum ini dia memang cergas, aktif dan suka belajar namun kini kerap lupa dan hilang fokus.
“Sekiranya saya memintanya melakukan sesuatu dia lupa untuk melakukannya dan bertanya semula kepada saya.
“Misalnya saya menyuruhnya mengambil kain di dapur, dia akan ke dapur namun kemudian lupa tujuannya ke situ, perkara seumpama itu kerap berlaku kebelakangan ini.
“Kami khuatir masalah ini menjurus kepada memory lost (hilang ingatan) yang serius,” katanya ketika ditemui.
Surirumah itu berkata, tujuannya mendedahkan kejadian menimpa anaknya itu bukan bagi mencari publisiti sebaliknya untuk menuntut pembelaan dan keadilan.
Dia faham segelintir masyarakat kurang menyenangani tindakannya membuat laporan polis namun keluarganya tetap meneruskan tindakan demi anaknya.
“Kami juga sudah melantik peguam bagi menguruskan perkara ini serta menuntut ganti rugi bagi apa yang kami alami sejak kejadian berlaku.
“Kami bukan orang senang, saya juga memiliki tanggungjawab menjaga semua cahaya mata.
“Semoga ini menjadi pengajaran kepada yang terbabit serta memberi kesedaran bagi orang ramai terutama ibu bapa serta pengurusan sekolah,” katanya.
Semalam portal ini melaporkan Izzul Islam mengalami masalah gegaran otak dipercayai selepas menjadi mangsa buli.
Siti Suhana berkata, anak lelakinya itu merupakan pesakit kanser hidung dipukul murid darjah enam pada 21 Februari lalu kerana pelaku berusia 12 tahun tidak berpuas hati dengan anak perempuan iaitu kakak mangsa menolak cintanya.
Menurutnya, kejadian berlaku pada pukul 5 petang di sebuah sekolah agama apabila anaknya ditendang, dihentak kepala bahagian kiri dan kanan serta dipaksa bogel.
Katanya, akibat kejadian itu, anak keempat daripada enam beradik itu dimasukkan ke hospital kerana kerap mengadu sakit kepala hingga keadaan tubuhnya menjadi lemah.
Anaknya disahkan mengalami gegaran otak dan dia hanya dimaklumkan kejadian itu oleh anak perempuannya pada 24 Mac lalu.
Lebih malang anaknya juga menjadi mangsa buli kali kedua pada 7 Ogos lalu di sebuah sekolah kebangsaan di Skudai di sini.
Semalam kanak-kanak berkenaan turut menerima kunjungan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad dan Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Saliman Selamat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh mengesahkan menerima laporan daripada ibu mangsa dan siasatan masih dijalankan.- MalaysiaGazette
















