MELAKA – Statistik hampir 63 peratus penduduk dewasa di Melaka gemuk mendorong pembangkang negeri menganjurkan Karnival Kesihatan Percuma buat julung kalinya di Kampung Paya Rumput Jaya (PARUJAS), di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr. Mohd Aleef Yusof, berkata, pengajuran program yang memberi manfaat kepada lebih 500 penduduk itu adalah respons awalnya terhadap statistik membimbangkan itu.
“Inisiatif seperti Karnival Kesihatan Percuma yang dianjurkannya hari ini bertujuan mendedahkan akan peri pentingnya untuk kita menjaga kesihatan lebih-lebih lagi latar belakang saya juga seorang doktor perubatan.
“Melalui pemeriksaan awal ini juga, kita dapat mengesan lebih awal penyakit berbahaya seperti kencing manis, darah tinggi, tinggi kolesterol dan sebagainya supaya dapat elakkan penyakit tiga serangkai ini daripada lebih kronik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Menurutnya, penyakit tidak berjangkit itu adalah punca utama kepada masalah kesihatan lebih serius seperti strok, serangan jantung dan kerosakan buah pinggang kronik yang akhirnya memerlukan rawatan dialisis.
“InsyaAllah, karnival kesihatan percuma ini tidak akan terhenti di sini sahaja malah saya bercadang meneruskannya setiap tahun sebagai satu agenda tetap dalam kalendar tahunan sepanjang menjadi wakil rakyat Sungai Udang.
Kita mahu rakyat terbiasa dengan budaya pemeriksaan awal, bukan tunggu sakit baru ke hospital kerana dengan cara ini kita boleh elakkan penyakit jadi kronik,” katanya.
Program bermula seawal jam 8 pagi itu turut mendapat kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO), hospital swasta dan sokongan komuniti setempat termasuk penduduk Taman Terendak Permai.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pemeriksaan gula darah, tekanan darah, kolesterol, pemeriksaan mata, mammogram serta ginekologi, selain aktiviti senamrobik.
Bulan lalu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem mendedahkan hampir 63 peratus penduduk dewasa di Melaka gemuk, tergolong dalam kumpulan mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti.
Kajian mendapati 34.7 peratus penduduk dewasa mengalami masalah berlebihan manakala bagi kategori obesiti, ia merekodkan 28.2 peratus sekali gus menyaksikan hampir 63 peratus penduduk dewasa di Melaka mempunyai masalah itu. – MalaysiaGazette
















