KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan supaya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) khusus berkaitan pemakaian dan penyimpanan rakaman kamera badan dalam setiap operasi penguatkuasaan.
Menurut EAIC, cadangan itu penting bagi memastikan setiap tindakan pegawai dan anggota dijalankan secara telus serta mengelakkan sebarang tuduhan atau salah faham daripada orang awam pada masa hadapan.
“Pelaksanaan SOP ini akan memperkukuh integriti serta akauntabiliti agensi penguatkuasaan, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap JIM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Cadangan itu dibuat selepas EAIC melengkapkan siasatan berhubung aduan dakwaan kekasaran oleh pegawai JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terhadap seorang individu ketika operasi penguatkuasaan pada 25 Jun 2024.
Hasil siasatan mendapati kertas siasatan polis berhubung insiden berkenaan diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Timbalan Pendakwa Raya.
Selain itu, individu yang membuat aduan tidak dapat mengecam atau mengenal pasti pegawai terlibat, manakala rakaman kamera badan gagal diperoleh kerana data hanya disimpan selama 30 hari.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian juga tidak dapat diperoleh kerana peralatan tersebut telah dicabut selepas serbuan dijalankan, manakala semua pegawai dan anggota yang terlibat menafikan berlaku sebarang kekasaran,” jelas kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, EAIC menegaskan keperluan segera bagi SOP kamera badan diwujudkan agar kelemahan sama tidak berulang dan setiap operasi dapat dijalankan dengan lebih berintegriti. – MalaysiaGazette















