Syamel kembali dengan sebuah lagu balada terbaharu berjudul Berakhir Kita.

KUALA LUMPUR – Penyanyi berbakat besar, Syamel kembali mengangkat kekuatan vokalnya menerusi sebuah lagu balada terbaharu berjudul Berakhir Kita ciptaan
Shazriq Azeman dan Omar K yang turut bertindak selaku penerbit lagu ini.

Mengangkat tema cinta yang tidak kesampaian, Berakhir Kita adalah sebuah balada emosi
yang merungkai perasaan pilu apabila sebuah hubungan terhenti sebelum sempat bermula.

Lagu ini menggambarkan peritnya melihat harapan cinta yang sepatutnya menjadi milik bersama namun musnah di depan mata di mana mewakili suara mereka yang pernah mengalami kekecewaan dalam cinta yang tidak berpenghujung.

Menurut Syamel, kolaborasi bersama Omar K dan Shazriq merupakan satu pengalaman yang cukup menyenangkan.

“Mereka sentiasa memberikan tenaga yang positif dan kebebasan untuk saya mengolah lagu ini mengikut keselesaan nyanyian saya.

“Itu membuatkan proses rakaman menjadi lebih selesa dan bermakna,” jelas Syamel yang juga suami kepada Ernie Zakri.

Lagu itu turut dilengkapi dengan sebuah paparan visual yang disatukan bersama sebuah drama bersiri yang bakal ditayangkan.

Bagi Syamel, elemen visual tersebut mampu memperkukuh emosi dan jalan cerita lagu ini.

“Hayatilah lirik dan melodi lagu ini yang, bagi saya, cukup sedih dan menyayat hati. Ditambah pula dengan babak-babak dalam drama tersebut, saya percaya ia akan memberikan impak yang lebih mendalam kepada para pendengar,” tambahnya.

Proses penghasilan Berakhir Kita turut mendapat sokongan padu daripada semua pihak yang terlibat.

Gabungan usaha serta komitmen pasukan produksi menjadikan lagu itu lahir dengan
penuh jiwa dan keikhlasan.

“Ramai individu telah memainkan peranan dalam menjayakan lagu ini. Semua bergerak
seiring dan memberikan kerjasama yang amat positif sepanjang proses penghasilan,” kata
Syamel.

Penghibur berusia 31 tahun itu turut berharap agar Berakhir Kita mampu menyentuh hati para pendengar dan menjadi lagu yang dekat dengan kehidupan serta pengalaman peribadi mereka.

“Saya berharap lagu ini akan melekat di hati pendengar, dan mereka dapat mengaitkannya dengan kisah hidup mereka sendiri,” ujarnya.

Berakhir Kita adalah lagu usaha antara Universal Music Malaysia, Maison Management and Global Keynote Sdn. Bhd. dan kini boleh distrim di semua platform penstriman digital. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast