Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan berhubung cadangan lanjutan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, ketika ini Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang menjalankan kajian menyeluruh berhubung perkara itu.

Menurut beliau, kajian tersebut meliputi pelbagai aspek penting termasuk kesihatan, produktiviti, peluang kenaikan pangkat kepada golongan muda serta implikasi fiskal dalam jangka pendek dan panjang.

“JPA tidak akan melakukannya secara tergesa-gesa. Kerajaan akan mengambil pendekatan yang menyeluruh bagi menilai implikasi fiskal.

“Ini bagi memastikan apa-apa keputusan yang dibuat adalah holistik dan seimbang, sambil mengambil kira kepentingan negara dan kebajikan penjawat awam,” katanya semasa sesi penggulungan perbahasan bagi portfolionya di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Dr Zaliha, kerajaan turut mengadakan perbincangan bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bagi mendapatkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan.

Antara perkara yang sedang diteliti ialah cadangan pelaksanaan lanjutan umur persaraan secara berfasa, pemberian pilihan kepada penjawat awam untuk menentukan umur persaraan mereka, serta mewajibkan mereka yang memilih untuk bersara pada usia 65 tahun menjalani penilaian kesihatan dan psikometrik. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast