Ibu tunggal, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menunjukkan gambar anak lelakinya Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang meninggal dunia ketika menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di lapang sasar Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Ulu Tiram, Johor, pada Julai lalu yang disyaki menjadi mangsa buli berdasarkan bentuk kecederaan dan luka yang dialami pada sidang media di premis Naran Singh & Co, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 OGOS 2025 (GAMBAR FAIL)

 

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghormati permohonan ibu Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin untuk menjalankan bedah siasat kedua dalam mencari keadilan untuk anaknya.

UTM dalam satu kenyataan, mendoakan agar keputusan yang dicapai kelak dapat memberikan keadilan yang sewajarnya kepada keluarga arwah dan semua pihak.

“UTM mengambil maklum kenyataan Puan Ummu Haiman Bee Daulatgun, ibu kepada
Allahyarham Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UTM, dalam program #JusticeForZara.

“UTM telah memberikan kerjasama sewajarnya kepada pihak keluarga dan turut mengambil maklum mengenai permohonan untuk menjalankan bedah siasat kedua yang akan didengarkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Beliau turut memohon perintah supaya kubur anaknya digali semula bagi dijalankan bedah siasat kedua,” menurut kenyataan tersebut.

Khamis lalu, Ummu Haiman memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi terhadap Ketua Polis Negara dan Peguam Negara (AG) berhubung kematian anaknya itu.

Berdasarkan affidavit, pemohon turut meminta pendengaran prosiding itu disegerakan melalui perakuan oleh peguamnya, Datuk Naran Singh.

Dia turut memohon perintah supaya kubur anaknya digali semula bagi dijalankan bedah siasat kedua.

“Bedah siasat perlu dijalankan dengan kehadiran Pakar Forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh dan dihadiri Naran atau wakil daripada firma guaman Tetuan Naran Singh & Co,” katanya.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada) Ulu Tiram di sini pada 28 Julai lalu.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast