BUKIT MERTAJAM – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bersama tiga individu lain akan didakwa di mahkamah atas kenyataan di media sosial yang didapati menggugat ketenteraman awam.
Dalam kenyataan hari ini, AGC menjelaskan Akmal, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham serta Siti Hajar Aflah Sharuddin akan berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, manakala Chandrasegaran a/l Subramaniam pula akan dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kesemua pertuduhan berkenaan akan dikemukakan di Mahkamah Majistret yang mempunyai bidang kuasa setempat dalam masa terdekat.
Sementara itu, Muhamad Akmal menerusi catatan di Facebook mengesahkan beliau dimaklumkan akan didakwa esok di Mahkamah Bukit Mertajam, namun kerana sedang menunaikan umrah, beliau memohon supaya pertuduhan terhadapnya dibuat pada Jumaat.
“Saya kini sedang menunaikan umrah di Mekah. Oleh itu, saya akan memendekkan ibadah ini dan pulang untuk menghadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jumaat, jam 8 pagi.
“Jika ini harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan kedaulatan negara, saya tidak akan berganjak walau seinci,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Muhamad Akmal mengetuai lebih 500 penyokong dalam perarakan sejauh 1.4 kilometer di Kepala Batas, Pulau Pinang sebagai tanda mempertahankan Jalur Gemilang susulan insiden bendera negara dikibarkan secara terbalik di sebuah premis perkakasan di Bertam, di sini. – MalaysiaGazette
















