KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menegaskan perlunya untuk memastikan ketelusan dalam setiap urusan perolehan pertahanan negara sambil memberi amaran terhadap campur tangan politik dan kebergantungan berlebihan kepada ejen.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi pengalamannya semasa lawatan ke Langkawi baru-baru ini apabila beliau ditunjukkan kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang masih beroperasi meskipun sudah berusia puluhan tahun.
“Saya pergi ke Langkawi untuk melihat kapal-kapal. Memang benar, ada kapal dari tahun 1976 masih digunakan kerana kita tidak cukup kapal.
“Bayangkan perasaan saya. Belanja berbilion ringgit tetapi kapal tidak ada. Pada tahun 1976, saya masih berehat di Kamunting, dan kapal itu sudah digunakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang membangkitkan isu kapal melebihi 30 tahun masih digunakan dalam perkhidmatan.
Menurut Shahidan, di negara maju, kapal yang berusia 30 tahun digantikan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, para pegawai memaklumkan kapal lama itu masih perlu digunakan kerana tiada kapal lain yang boleh menggantikannya dan ia dianggap sebagai satu pengajaran buat kerajaan.
“Ini satu pengajaran. Sebab itu saya tegaskan, urusan perolehan mesti telus, kita mesti hentikan kebergantungan kepada ejen dan kalau boleh, biar rundingan kerajaan dengan kerajaan (G2G).
“Runding betul-betul, semak kos dan jangan dicampur aduk dengan kepentingan politik atau individu tertentu,” tegasnya.
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah mengarahkan Kementerian Pertahanan membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk berusia lebih 30 tahun yang disifatkan baginda sebagai ‘keranda terbang’.
Sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), baginda turut mengingatkan agar kementerian tidak mengulangi kesilapan lalu.
Susulan itu, ATM memaklumkan pembelian empat helikopter Black Hawk bernilai sekitar RM187 juta telah dibatalkan. – MalaysiaGazette
















