MELAKA – Seorang lelaki direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini kerana disyaki mencabul anak saudaranya berusia 16 tahun di ruang tamu rumahnya minggu lalu.
Perintah reman terhadap peniaga berusia 50 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleimen bermula hari ini sehingga 21 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Menurut sumber, kejadian berlaku pada pukul 2.30 petang 12 Ogos lalu ketika mangsa (pengadu) sedang berbaring atas sofa di ruang tamu rumah di Solok Paya Mengkuang, Bukit Rambai di sini sambil meletakkan bantal menutupi dadanya.
“Suspek tiba-tiba dikatakan mengangkat bantal itu dan meramas payudara mangsa sebelum meletakkan semula (bantal) dan beredar masuk ke dalam biliknya tanpa rasa bersalah,” katanya.
Sumber berkata, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, sebelum itu, suspek yang merupakan abang ipar ibunya ada menegur mangsa yang berbaring di sofa.
“Mangsa beritahu dia berasa tidak sihat sebelum suspek ke dapur mengambil donut dan mengajak pengadu makan. Bagaimanapun, pengadu menolak pelawaan itu dan meminta bapa saudaranya itu meletakkan donut di atas meja namun suspek terus kembali kepadanya dan melakukan cabul,” katanya.
Mangsa yang terkejut kemudian menceritakan kejadian itu kepada bapanya dan mereka terus ke Balai Polis Batang Tiga untuk membuat laporan.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka berjaya menahan suspek untuk permohonan reman hari ini. – MalaysiaGazette
















