KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan, pertuduhan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibuat kerana ia merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina Mahathir.
Sehubungan itu katanya, prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca kematian sebenar pelajar berusia 13 tahun itu.
AGC menjelaskan, pertuduhan mengikut Seksyen 507C(1)Kanun Keseksaan di dalam kes buli Zara Qairina Mahathir adalah bersandarkan kepada bukti dan fakta yang diperoleh hasil daripada siasatan yang dijalankan.
“Kenyataan peguam itu adalah bersifat spekulatif tanpa disokong oleh fakta yang tepat.
“Oleh yang demikian, Jabatan ini sekali lagi menegaskan bahawa pertuduhan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan di dalam kes ini adalah bersandarkan kepada bukti dan fakta yang diperoleh hasil daripada siasatan yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu adalah respons terhadap kenyataan media yang dikeluarkan oleh peguam lantikan keluarga allahyarham Zara Qairina yang memohon pendakwaan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan terhadap lima remaja yang terlibat dalam kes tersebut, ditangguhkan.
Pihak peguam keluarga allahyarham juga mencadangkan agar pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















