Allahyarham Zara Qairina Mahathir

KUALA LUMPUR – Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina hari ini memohon Peguam Negara menangguhkan pendakwaan terhadap lima remaja yang akan dituduh di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli pelajar tersebut buat sementara waktu.

Barisan peguam itu, Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser berkata, penangguhan itu kerana pihaknya memohon agar Peguam Negara dapat mempertimbangkan agar semua remaja di atas dituduh di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

“Sekiranya keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan sabitan bagi kesalahan di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, kami berharap siasatan lanjut dapat diteruskan menjurus ke arah kesalahan tersebut dan pendakwaan ditangguh seketika.

“Namun sekiranya keterangan yang ada sekarang dan hasil siasatan lanjut mencukupi untuk mendakwa semua remaja di atas bagi kesalahan yang lebih berat dari Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, kami merayu agar mereka didakwa bagi kesalahan yang lebih berat itu,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Mereka khuatir sekiranya pendakwaan di bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah pada esok hari atau tarikh-tarikh berikutnya, mereka tidak lagi boleh didakwa  apabila siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 507D(2) kanun yang sama atau kesalahan yang lebih berat.

Perkara itu atas dasar double jeopardy yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan.

Tambah mereka, surat agar penangguhan pendakwaan sudah dibuat dan diemel kepada Peguam Negara pagi ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast