KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Razak mempunyai bukti mencukupi yang membolehkan beliau memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh berkaitan titah adendum.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, bekas Perdana Menteri percaya bahawa Ahmad Terrirudin yang kini hakim Mahkamah Persekutuan mempunyai pengetahuan terhadap titah adendum, namun didakwa memilih untuk mengelirukan mahkamah.
Beliau berhujah, salinan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 itu yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, dialamatkan sendiri kepada Ahmad Terrirudin atas kapasitinya selaku Peguam Negara ketika itu.
“Waraqatul ikhlas Watah Fatul Akhyar iaitu daripada Beta, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Yang di-Pertuan Agong Malaysia.
“Mudah-mudahan barang diwasalkan oleh Tuhan Seru Sekalian Alam ke Majlis Yang Berbahagia Datuk Ahmad Terrirudin bin Mohd Salleh, Peguam Negara Malaysia yang berada pada masa ini di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya dengan beberapa selamat dan sejahteranya…,” demikian menurut salinan tersebut.
Beliau menjelaskan, salinan titah itu menyebut sendiri nama Ahmad Terrirudin dan jawatan rasminya sebagai Peguam Negara.
Sehubungan itu, Muhammad Shafee berhujah, selaku Peguam Negara, Ahmad Terrirudin mempunyai segala peluang untuk mengesahkan titah berkenaan dengan Istana Pahang.
Hujah beliau lagi, tambahan pula, titah adendum itu sendiri mengesahkan bahawa Ahmad Terrirudin (responden) telah menerima dokumen asal yang membuktikan beliau mengetahui dan mempunyai kawalan secara peribadi.
Muhammad Shafee selanjutnya berhujah, salinan titah adendum yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah diserahkan kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar yang diperoleh daripada Pejabat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.
Hujahnya, melalui sepucuk surat bertarikh 4 Januari lalu, Majlis Kesultanan Pahang secara rasmi telah mengesahkan ketulenan dan kesahihan titah berkenaan.
Muhammad Shafee seterusnya menghujahkan, Peguam Negara ketika ini, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar malah mengakui mengenai kewujudan titah adendum pada prosiding rayuan di Mahkamah Persekutuan, baru-baru ini.
Hujah peguam, sehubungan itu, tindakan menghina mahkamah oleh Ahmad Terrirudin, bermula seawal atau sebelum 3 April 2024 apabila mengarahkan Peguam Kanan Persekutuan (SFC) untuk membantah semakan kehakiman yang difailkan bekas Perdana Menteri.
“Tindakan ini membayangkan bahawa titah adendum tidak wujud meskipun mengetahui bahawa ia adalah satu representasi yang palsu untuk dikemukakan kepada mahkamah.
“Sifat keseriusan dalam tindakan tersebut bukan sekadar melibatkan perlanggaran prosedur semata-mata, sebaliknya menunjukkan risiko sebenar terhadap integriti prosiding mahkamah,” hujahnya.
Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan Seri Paduka ke-16 yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berhujah, permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib wajar ditolak kerana ia bukan sahaja tidak berasas, malah satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Beliau menegaskan, hujahan peguam bahawa Peguam Negara menanggung tanggungjawab untuk berlaku jujur (duty of candour) pada peringkat permohonan kebenaran adalah tidak tepat.
Hujah beliau, Peguam Negara bertindak betul ketika membantah kebenaran semakan kehakiman Najib atas alasan affidavit sokongan yang dikemukakan bersifat dengar cakap dan andaian semata-mata.
“Responden tidak menanggung tanggungjawab untuk berlaku jujur pada peringkat kebenaran semakan kehakiman dan oleh itu tidak boleh dipersalahkan kerana tidak mengesahkan titah itu,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Hakim Alice Loke Yee Ching menetapkan 4 September ini untuk keputusan. – MalaysiaGazette
















