Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Polis telah membongkar satu kes mengejutkan melibatkan eksploitasi seksual dalam talian membabitkan kanak-kanak seawal usia 12 tahun.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mendedahkan perkara itu berkata, siasatan mendapati seorang kanak-kanak perempuan telah mencipta sebuah laman web bersama empat rakan lain untuk menjual gambar eksploitasi seksual mereka sendiri secara dalam talian.

“Dalam kes ini, ada yang sampai berhenti sekolah kerana pendapatan yang mereka peroleh lebih tinggi daripada gaji ibu bapa mereka,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau, kes tersebut turut melibatkan penubuhan satu kumpulan WhatsApp yang berkembang hingga mempunyai 762 ahli.

Bagaimanapun, Saifuddin tidak memperincikan sama ada ahli kumpulan itu terdiri daripada orang dewasa atau kanak-kanak.

Menyifatkan kes itu sebagai membimbangkan, beliau menegaskan, isu melibatkan kanak-kanak tidak boleh ditangani hanya melalui tindakan penguatkuasaan semata-mata.

“Ini menunjukkan betapa seriusnya isu ini. Bila kita berhadapan dengan kes melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun, kita mesti libatkan agensi-agensi lain juga,” tegasnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan, Sabri Azit (PN-Padang Jerai) yang meminta penjelasan sama ada polis mengambil tindakan terhadap aktiviti “swinger” atau pertukaran pasangan untuk hubungan seksual secara suka sama suka.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, lima undang-undang boleh diguna pakai bergantung kepada situasi termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, Akta Penapisan Filem serta Enakmen Syariah.

Dalam pada itu, beliau turut merujuk serbuan polis pada Ogos 2024 yang dijalankan oleh Unit D7 (Pencegahan Maksiat dan Perjudian) ke atas sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur, susulan pengesanan laman web yang mempromosikan aktiviti “swinger”.

“Antara yang ditahan termasuklah pelajar universiti awam dan swasta, penjawat awam serta warga asing. Kes ini telah didakwa di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan masih berjalan,” katanya.

Saifuddin turut menekankan kepentingan pembinaan institusi keluarga yang kukuh dalam menangani jenayah seksual.

“Undang-undang dan penguatkuasaan penting, tetapi nilai kekeluargaan dan masyarakat yang sihat adalah tunjang utama dalam pencegahan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast