KABUL – Angka kematian kemalangan antara sebuah bas yang membawa pulang migran Afghanistan dari Iran dengan dua buah kenderaan di barat Afghanistan meningkat kepada 76 orang, kata seorang pegawai wilayah.

“Seramai 76 warga negara kehilangan nyawa dalam insiden ini dan tiga lagi mengalami kecederaan kritikal,” kata jurucakap kerajaan wilayah Herat, Mohammad Yousuf Saeedi menerusi satu kenyataan.

Polis di daerah Guzara, Herat, di mana kemalangan berlaku malam semalam berkata, bas itu berlanggar dengan sebuah motosikal dan sebuah lori minyak, menyebabkan kebakaran berlaku.

Bas tersebut membawa warga Afghanistan yang pulang dari Iran ke ibu negara, Kabul, kata Saeedi kepada AFP.

Sekurang-kurangnya 1.5 juta orang pulang ke Afghanistan dari Iran dan Pakistan pada tahun ini, yang mana negara terbabit mengusir mereka selepas mendiami negara tersebut, menurut agensi migrasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Agensi berita milik kerajaan, Bakhtar melaporkan, ia merupakan salah satu kemalangan terburuk di negara itu.

Kemalangan jalan raya sering berlaku di Afghanistan berikutan keadaan jalan yang tidak baik selepas mengharungi konflik selama berdekad-dekad, pemanduan yang berbahaya di lebuh raya dan kekurangan kawal selia.

Pada Disember lalu, kemalangan membabitkan dua bas, sebuah lori dan sebuah lori tangki minyak di lebuh raya di tengah Afghanistan menyebabkan sekurang-kurangnya 52 orang terbunuh. – AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast