KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mendesak Fadlina Sidek meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan kerana gagal menjelaskan isu kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir semasa sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, walaupun hampir separuh dari 120 Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan RMK13 menyentuh isu itu, namun Fadhlina tidak menjawab isu buli.
“Kami rasa kesal petang ini, bila berlaku macam tu maknanya betullah desakan rakyat, Menteri Pendidikan patut ditukar dan dia patut letak jawatan sebab dia gagal nak menjalankan tugas sebagai menteri.
“Malah dia gagal berdepan Ahli Parlimen untuk menjawab soalan tentang isu buli di Parlimen tempat tertinggi yang rakyat pilih.
“Kami bukan bawa nada politik, kami mewakili suara rakyat yang dipilih. Rakyat mahukan jawapan terhadap isu buli ini dinoktahkan oleh Menteri Pendidikan, tapi dia tak jawab,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Turut hadir pada sidang media sama, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari.
Terdahulu Fadhlina menghabiskan penggulungan perbahasan RMK13 berkaitan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selepas beberapa Ahli Parlimen PN termasuk Afnan Hamimi bangkit dan cuba mencelah untuk meminta penjelasan mengenai isu buli di sekolah.
Fadhlina juga enggan menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor yang mahukan penjelasan daripada Fadhlina mengenai cadangan beliau tentang pelantikan veteran tentera sebagai warden bagi mengatasi buli di sekolah.
“Yang Berhormat Tan Sri, saya ada cadangan dalam perbahasan untuk diambil veteran menjadi warden, saya nak tahu,” katanya Khlir.
Bagaimanapun Fadlina yang sudah menghabiskan penggulungan RMK13 hanya menolak dengan jawapan menyindir Ahli Parlimen Pas itu.
“Saya tak setuju, kalau Ketereh jadi warden saya tak setuju,” jawab Fadlina dengan ringkas. – MalaysiaGazette
















