Ahli Perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad hadir ke mahkamah bagi sebutan kes rasuah berkaitan Program Jana Wibawa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OKTOBER 2023. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini melepas dan membebaskan Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkait projek Jana Wibawa yang dihadapinya.

Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi yang dikemukakan oleh Adam Radlan.

Farah Yasmin berkata, terdapat perkembangan dalam kes itu di mana ada tawaran dibuat iaitu untuk membayar kompaun di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Tertuduh dalam kes ini sudah membuat pembayaran kompaun sebanyak RM4.1 juta pada Isnin lalu,” ujarnya.

Sehubungan itu, Farah Yasmin memohon supaya Adam Radlan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada prosiding sebutan keputusan representasi hari.

Bagaimanapun, peguam bela, Datuk Seri Rajan Navaratnam memohon supaya beliau dibebaskan sepenuhnya kerana tiada apa lagi yang perlu dilakukan berkaitan pertuduhan selepas Adam Radlan membayar kompaun berkenaan.

Suzana kemudian memutuskan Adam Radlan dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan yang dihadapinya.

“Selepas menilai hujahan pihak-pihak, mahkamah memerintahkan kamu dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan,” katanya.

Sebelum ini, Adam Radlan, 44, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan rasuah dan tujuh pengubahan wang haram selepas didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Mengikut pertuduhan, Adam Radlan didakwa meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh, daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat.

Beliau juga didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis, daripada kerajaan secara rundingan terus dengan keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Selain itu, Adam Radlan menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa, dan juga secara rasuah meminta wang RM2 juta daripada Tian Chuan sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.

Bagi lima pertuduhan rasuah Adam Radlan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta, ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 dan Januari 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast