Allahyarham Wan Ahmad Faris. foto FB Justice For Wan Ahmad Faris

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan, kertas siasatan kematian tragis yang menimpa Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, kira-kira 12 tahun lalu akan dibuka semula.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiada halangan untuk membuka semula kertas siasatan itu untuk mengenal sebarang unsur jenayah termasuk perbuatan buli.

“Macam adik Faris dulu, kesnya 2013. Inkues keputusan bila? 2016. Apa dia keputusan inkues? Adik Faris ditemui tergantung dan ada penglibatan pihak ketiga yang menyebabkannya.

“Itu kedudukan inkues. Sebab itu, sekarang keluarga adik Faris kata mereka pun mendesak untuk dilihat semula. Polis akan buka semula, kertas siasatan kita siapkan, sebab pada waktu itu, DPP mengatakan tiada tindakan lanjut.

“Saya bincang dengan ketua pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, apa yang menghalang kita untuk tengok semula. Polis kata tiada masalah,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) pada sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Allahyarham Wan Ahmad Faris yang juga pelajar tingkatan empat ketika itu, ditemui tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan, Disember 2013.

Mayat dilaporkan dijumpai penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas itu dan hasil bedah siasat mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut serta tiada kaitan dengan unsur jenayah.

Saifuddin juga berkata, beliau menyerahkan kepada Peguam Negara sama ada untuk melakukan pertuduhan serta melakukan pindaan kes itu daripada DNAA kepada akta baharu.

“Peguam Negara akan cuba timbulkan ada perbuatan buli. Ada pelakunya, ada saksinya, ada kalimah atau kata-kata yang dianggap boleh ditafsirkan sebagai buli.

“Yang menyebabkan harassment, distress, pressure dan sebagainya mengikut definisi undang-undang.

“Jadi proses itu akan berlaku. Manakala inkues kalau berjalan ikut aturan dengan keterangan saksi, polis akan sediakan saksi. Dan di situ boleh bersoal jawab semua sekali untuk mengetahui puncanya,” katanya.

Katanya lagi, inkues kematian Wan Ahmad Faris sebelum ini terhenti disebabkan pelaku sudah diketahui.

“Sudah tentulah tuduhan itu boleh dipindah. Memindah pertuduhan dalam satu proses adalah perkara biasa.

“Kadang-kadang seseorang itu dituduh di bawah 302. Kemudian diubah pada 304 menyebabkan kematian, umpamanya. Saya faham proses undang-undang begitu.

“Jadi buat masa sekarang, itulah keputusan peguam negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast