Ahmad ditemui selepas merasmikan Konvensyen Kontraktor CIDB Malaysia 2025 yang berlangsung di Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kontraktor di seluruh negara diseru merebut peluang besar yang ditawarkan melalui peruntukan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM611 bilion bagi pembangunan lima tahun akan datang.

Jelasnya, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan 34 peratus berbanding RM400 bilion dalam RMK-12.

“Sebahagian besar peruntukan itu melibatkan sektor pembinaan yang bakal memberi limpahan manfaat kepada kontraktor tempatan.

“Apabila disebut pembangunan, ia pastinya melibatkan sektor pembinaan.

“Oleh itu, saya menyeru semua kontraktor bersedia merebut peluang besar ini untuk lima tahun mendatang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kontraktor CIDB Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Konvensyen anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) itu menjadi platform penting untuk kontraktor meneroka peluang melalui sesi pertemuan dengan penggiat industri utama, khususnya dalam bidang pengurusan fasiliti dan teknologi pendigitalan.

Ahmad menegaskan, sektor pembinaan perlu bergerak seiring aspirasi negara yang menekankan kelestarian, inovasi dan daya tahan.

Katanya, konvensyen itu diharap menjadi pemangkin kepada evolusi industri pembinaan tempatan agar lebih mampan serta berdaya saing di peringkat global.

“Kontraktor harus melihat perubahan landskap industri ini sebagai peluang, bukan cabaran semata-mata. Pendigitalan dan inovasi akan menentukan daya saing kita dalam merealisasikan pembangunan negara, ujarnya.

Beliau menekankan bahawa sokongan kerajaan melalui RMK-13 adalah bukti kesungguhan untuk memperkukuh ekosistem pembinaan.

“Ini sekali gus membuka ruang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Dengan pelbagai inisiatif serta peluang yang diketengahkan, sektor pembinaan dijangka terus menjadi antara penyumbang utama dalam menjayakan matlamat pembangunan Malaysia menjelang 2030.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast