KUALA LUMPUR – Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah mengeluarkan perintah larangan (gag order) supaya prosiding pendakwaan terhadap lima remaja perempuan dalam kes Zara Qairina Mahathir, tidak didedahkan kepada umum.
Hakim Elsie Primus mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang remaja berkenaan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, perintah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 15(1) Akta Kanak-Kanak yang menyatakan sekatan terhadap laporan dan penyiaran oleh pihak media.
“Peguam mohon gag order dan ia dibenarkan. Mahkamah turut melarang gambar mereka dan keluarga disiarkan,” ujarnya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Mohd. Dusuki, Seksyen 15(1) menyatakan larangan terhadap pendedahan nama, alamat, institusi pendidikan atau memasukkan apa-apa butir yang direncanakan untuk membolehkan kanak-kanak itu dikenal pasti.
Seksyen 15(2) pula menyatakan sekatan terhadap gambar kanak-kanak tersebut daripada disiarkan dalam akhbar, majalah atau disampaikan melalui perantara elektronik.
Menurut Peguam Negara, semua tertuduh dibenar ikat jamin RM5,000 serta seorang penjamin yang mana penjamin perlu terdiri daripada salah seorang ibu atau bapa dengan RM1,000 didepositkan kepada mahkamah.
Sementara itu, peguam Hamid Ismail yang mewakili keluarga Zara Qairina enggan mengulas lanjut perkembangan kes berikutan perintah larangan bersuara yang dikeluarkan oleh mahkamah.
Memetik laporan Sinar Harian, beliau berkata, pihaknya tidak dapat memberikan sebarang komen atau pun maklumat berhubung status prosiding kerana tertakluk kepada Seksyen 15 akta itu.
“Tunggu penjelasan Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana kami tidak boleh langgar perintah mahkamah,” katanya ketika ditemui wakil media selepas prosiding tersebut.
Dalam pada itu, laporan Harian Metro menyatakan, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad memberitahu wakil media di luar mahkamah umur kelima-lima remaja itu juga tidak boleh didedahkan.
Ditanya mengenai apa yang boleh dilaporkan berikutan perintah larangan itu, Nor Azizah berkata, media boleh melaporkan pertuduhan sudah dibacakan dan remaja terbabit mengaku tidak bersalah serta butiran mengenai jaminan.
Terdahulu, lima remaja tersebut dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.
Berdasarkan pertuduhan, kelima-lima tertuduh mencapai niat bersama dengan menggunakan perkataan mencela terhadap pelajar itu di sebuah sekolah di Papar di antara pukul 10 malam dan 11 malam, 15 Julai lalu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 25 September dan 16 Oktober ini manakala pendengaran kes bermula 8 hingga 12 Disember serta 15 hingga 19 Disember.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di sekolahnya pada 16 Julai dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth di sini. – MalaysiaGazette
















