PUTRAJAYA – Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony kekal menjalani hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana pemalsuan dokumen selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan semakannya.
Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Pada 4 Mac lalu, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, mula menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.
Terdahulu, panel tersebut mendengar penghujahan kedua-dua pihak berhubung keterangan baharu iaitu laporan polis yang dibuat oleh saksi pendakwaan ketiga (SP3), Mohd. Shukor Mohd. Din yang menjadi subjek dalam permohonan semakan itu.
Laporan tersebut (P4A) dibuat pada 9 Ogos 2018 antara lain menyatakan, kenyataannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 20 Julai 2017, adalah tidak benar kerana ia dibuat di bawah tekanan bagi mengaitkan Peter dengan pertuduhan tersebut.
Hakim Azman ketika membacakan keputusan itu berkata, ketiadaan laporan polis dalam penghakiman ringkas panel terdahulu yang menolak rayuan Peter, tidak menyebabkan berlakunya salah laksana keadilan.
“Isu berkaitan laporan polis itu sebaliknya telah diulas dalam penghakiman penuh bertarikh 1 Ogos lalu. Ketiadaan isu berkenaan dalam penghakiman ringkas, tidak menyebabkan salah laksana keadilan.
“Laporan polis itu telah dibincang dengan teliti. Hanya kerana ia tidak dinyatakan dalam penghakiman ringkas, sukar untuk membuat anggapan bahawa ia tidak dipertimbangkan oleh panel terdahulu.
“Bukan tugas kami untuk mendengar kembali persoalan yang melibatkan keterangan dan fakta yang telah diputuskan oleh panel sebelum ini,” ujar beliau.
Oleh yang demikian, kata Hakim Azman, Peter selaku pemohon telah diberikan hak untuk didengar dan mahkamah selanjutnya berpuas hati permohonan semakannya tiada merit.
Terdahulu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berhujah, persoalan mengenai laporan polis itu tidak disentuh langsung dalam alasan penghakiman ringkas yang dibacakan oleh panel terdahulu ketika menolak rayuan Peter.
“Meskipun keterangan bukti baharu itu telah dibenarkan untuk dikemukakan oleh panel terdahulu, namun ia langsung tidak dinyatakan dalam penghakiman ringkas, sebaliknya disebut dalam penghakiman penuh.
“Dalam hal ini, berlaku salah laksana keadilan kerana panel itu nyata tidak memberi pertimbangan sewajarnya terhadap persoalan tersebut.
“Penghakiman penuh itu tidak boleh diubah atau ditokok tambah daripada apa yang telah dimuktamadkan dalam penghakiman ringkas.
“Jika mahkamah mendapati berlaku salah laksana keadilan, perbicaraan semula harus dijalankan di Mahkamah Sesyen,” hujah beliau. Turut bertindak sebagai peguam, Datuk Rosal Azimin Ahmad.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah agar semakan itu ditolak kerana permohonan tersebut gagal melepasi ‘ambang’ (threshold) yang mewajarkan ia dibenarkan.
Hujah beliau, pihak pembelaan tidak menyembunyikan keterangan dan pemohon juga tidak pernah tidak dihalang untuk menghujahkan isu laporan polis tersebut pada prosiding sebelum ini.
Peter didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022 kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
Peter didakwa pada 2015 kerana memalsukan tajuk surat sokongan untuk mendapatkan kontrak penyelenggaraan bagi syarikat miliknya, Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, walaupun kontrak berkenaan telah dianugerahkan kepada REMT Utama Sdn Bhd menerusi tender terbuka.
Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.
Pemohon kemudiannya telah merayu keputusan tersebut ke Mahkamah Tinggi dan ditolak pada 18 April 2023. Tidak berpuas hati terhadap keputusan itu, Peter selanjutnya merayu ke Mahkamah Rayuan dan ia juga ditolak pada 4 Mac lalu. – MalaysiaGazette
















