Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap sebuah laman Facebook yang memuat naik dua artikel palsu serta fitnah dengan mengaitkan beliau dengan kejadian yang menimpa anak Datuk Seri Rafizi Ramli dan skandal membabitkan sebuah syarikat swasta.

Bekas perdana menteri itu berkata, keseluruhan kandungan artikel yang dimuat naik dalam platform media social adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi serta nama baik beliau.

Susulan itu, setiausaha akhbarnya telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada 18 Ogos lalu.

Malah, satu laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Facebook supaya Tindakan segara diambil terhadap kaman serta pengendali atau pemiliknya.

Skandal diteliti libat Farhash bukan Ismail Sabri atau KJ – Rafizi

“Saya mohon pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak atau pengendali Facebook ini serta mana-mana pihak atau pengendali akaun Facebook serta mana-mana pihak yang menyebarkan artikel terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, beliau juga sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil Tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Rafizi Ramli atas penjelasan beliau hari ini.

Dalam pendedahan pagi tadi, Rafizi berkata, maklumat yang diterimanya sebelum insiden serangan ke atas anak lelakinya adalah berkaitan urus niaga syarikat milik bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Farhash Wafa Salvador.

“Maklumat yang diberikan adalah bersabit Farhash Wafa Salvador, bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengenai urusniaga syarikat-syarikatnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi menegaskan, maklumat itu tidak ada kena mengena dengan mana-mana ahli politik lain termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) seperti yang tersebar. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast