Tangkap layar klip video di Facebook Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mengetuai serbuan di sebuah kilang pembuatan perabot di Lipis baru-baru ini

KUANTAN – Nasib 82 orang pekerja tempatan yang diberhentikan majikan di sebuah kilang pembuatan perabot di Lipis akan mendapat pembelaan sewajarnya, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata, majikan boleh dikenakan tindakan sekiranya menganiaya pekerja dengan culas membayar pampasan selepas diberhentikan.

“Dalam akta kerja jelas iaitu pampasan selepas pemberhentian mesti dibayar dalam tempoh 7 hari.

“Tapi malangnya, ada majikan yang culas, sampai bertahun-tahun pekerja tunggu hak mereka. Ada pula yang sanggup pecah-pecahkan bayaran sampai 7 atau 9 kali bayar.

“Bayangkan! Dahlah mereka ni hilang sumber pendapatan, masih lagi diseksa dengan janji palsu dan bayaran yang ditangguh-tangguh. Dahlah kamu buang mereka, pampasan pun di lengahkan,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.

Abdul Rahman sebelum itu menyerbu premis kilang itu bersama 49 anggota dan penguatkuasa daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ia dilakukan susulan aduan diterima pihaknya berkaitan pemberhentian pekerja terbabit dan pelanggaran akta termasuk kesalahan penyediaan penginapan pekerja, kesalahan bayaran pampasan dan kesalahan lain yang telah dikenalpasti.

“Saya nak tegaskan, bila melibatkan nasib rakyat, saya takkan berdiam diri. Saya akan perjuangkan sampai habis-habisan, kerana di belakang mereka ada keluarga dan masa depan yang menanti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast