Zulkifly (tiga dari kiri) menunjukkan kereta mewah yang disita pihaknya susulan tidak mempunyai cukai jalan yang sah.

SEBERANG JAYA – Mewah di jalan raya dengan Rolls Royce dan Porsche bernilai jutaan ringgit namun pemiliknya culas memperbaharui cukai jalan serta insurans.

Malah ada antaranya hampir dua tahun tidak berbuat demikian.

Taktik golongan elit termasuk yang bergelar Datuk itu dibongkar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menerusi Ops Luxury sejak Jun lalu hingga semalam dengan 38 kenderaan mewah bernilai hampir RM10 juta disita.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, 38 kenderaan mewah disita dalam Ops Luxury melibatkan pelbagai jenama termasuk sebuah Rolls Royce, Mercedes Benz (2), Porsche (2), Audi (3), Mini Cooper (3), Volkswagen (2), BMW (11), Toyota termasuk Alphard dan Vellfire (13) serta sebuah Greatwall.

Zulkifly

Tiga kenderaan yang mencatatkan jumlah cukai jalan tahunan tertinggi ialah Rolls Royce Ghost V12 (RM54,502), BMW 528i Limousine (RM2,120) dan Toyota Harrier (RM2,115).

“Rata-rata pemilik memberi alasan lapuk kononnya lupa untuk memperbaharui selain ada yang sanggup biarkan cukai jalan mereka tamat tempoh sejak 2023.

“Kesalahan ini membabitkan dua aspek iaitu cukai jalan tamat tempoh di bawah Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dan tiada insurans di bawah Seksyen 90 APJ,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ negeri di sini hari ini.

Menurut Zulkifly, kebanyakan kenderaan berkenaan didaftarkan atas nama syarikat, namun digunakan sendiri oleh pemilik, ahli keluarga dan pekerja.

“Daripada keseluruhan rampasan itu, dianggarkan ketirisan hasil negara berjumlah RM77,400 akibat kegagalan pemilik membayar cukai jalan.

Porsche antara kereta yang cukai jalannya tidak diperbaharui sejak 2023.

“Dalam operasi sama kita turut mendapati setengah pemandu tidak memiliki lesen.

“JPJ akan terus melaksanakan operasi dari semasa ke semasa dan tidak akan berkompromi kerana alasan seperti ‘lupa’ tidak boleh diterima untuk kesalahan serius seperti itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast