KUALA LUMPUR – Pertahanan Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili waspada kelincahan dua penyerang DPMM FC yang boleh menghukum pasukan dalam aksi ketiga Liga Super esok.
Miguel Oliveira dan Ramadhan Sananta antara dua pemain yang digeruni selepas mereka menampilkan aksi konsisten dalam tiga perlawanan terdahulu.
Bagi Ubaidullah, dua pemain itu boleh jadi ancaman besar kepada mereka menerusi gerakan-gerakan merbahaya dan Terengganu FC perlu bersedia dengan taktikal yang lebih rapi kali ini.
Ubaidullah menyifatkan kelab dari Brunei Darussalam itu bakal memberi tekanan tinggi kepada mereka terutamanya selepas mereka menang ke atas Kuching City FC dalam aksi pusingan 16 Piala FA tempoh hari selain DPMM juga masih lagi memburu tiga mata penuh apabila tewas dan seri dalam dua perlawanan terdahulu.
“Sebagai pertahanan, saya sedar dengan kualiti dua pemain lawan iaitu Ramadhan dan Miguel berdasarkan aksi mereka sebelum ini, jadi kita memang tidak boleh pandang rendah dengan kebolehan pasukan itu.
“Apatah lagi selepas kami tewas kepada Imigresen FC minggu lalu, ia macam bagi satu petanda awal kepada kami untuk tidak ambil mudah mana-mana perlawanan selepas ini.
“Dan ianya kerana kami tak dapat gunakan peluang menjaringkan gol dan gagal untuk bertahan dengan baik, jadi kita kena ubah benda itu.
“Setakat tinggi perlawanan ini, saya masih lagi mencari konsistensi dalam prestasi saya untuk perbaiki kelemahan-kelemahan kecil yang ada selepas ini,” katanya yang berusia 23 tahun.
Setakat ini Terengganu FC telah meraih empat mata selepas seri dan menang dalam dua perlawanan Liga Super terdahulu untuk meletakkan mereka di tangga kedua liga. – MalaysiaGazette
















