KUALA LUMPUR – Malaysia tidak merancang untuk menganjurkan kejohanan Formula 1 (F1) memandangkan kos yuran hak penganjuran dan penyediaan fasiliti tinggi dan kalendar perlumbaan yang padat.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, peningkatan yuran penganjuran dan jumlah penonton semakin merosot menyebabkan Malaysia berhenti menganjurkan kejohanan tersebut pada 1 September 2017.
“Penganjuran kejohanan Formula 1 di Malaysia setiap tahun akan memerlukan Kerajaan untuk melabur sekitar RM300 juta setahun untuk membayar yuran hak penganjuran kepada Liberty Media, iaitu pemegang hak komersil F1.
“Malaysia perlu mengikat kontrak penganjuran sepanjang tiga sehingga lima tahun dengan Liberty Media.
“Ia akan melibatkan komitmen yuran hak penganjuran kejohanan F1 sekitar RM1.5 bilion untuk tempoh tersebut,” katanya pada sesi pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew bertanyakan Menteri Belia dan Sukan tentang hasrat Malaysia boleh menghoskan F1 dan sejauh mana Sepang International Circuit (SIC) boleh membawa sumbangan dan manfaat kepada negara.
Hannah juga berkata, kos penyediaan litar dan penganjuran acara yang tinggi hingga mencecah RM10 juta setahun menyebabkan Malaysia tidak berhasrat menganjurkan sukan berprestij ini.
“Litar Antarabangsa Sepang masih mengekalkan penarafan homologasi litar Gred 1 Federation Internationale de l’Automobile (FIA).
“Ia juga memerlukan sebanyak RM10 juta setiap tahun untuk memastikan keselamatan litar dan fasiliti sokongan menepati standard penarafan tersebut,” katanya.
Selain itu, Hannah berkata, kos yuran hak penganjuran sebanyak RM300 juta setahun boleh digunakan untuk menampung pelbagai program penting di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Melalui peruntukan tersebut, KBS dapat melaksanakan Program Pembangunan 20 jenis sukan yang melibatkan seramai 363 atlet podium serta 9,834 atlet pembangunan bakat, dengan kos keseluruhan sebanyak RM124.1 juta setahun.
“KBS juga mampu menampung beberapa kali ganda pelaksanaan program ini, iaitu bersamaan dua tahun atau empat tahun penuh pelaksanaan program pembangunan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, peruntukan kos penyediaan litar (upgrade) sebanyak RM10 juta boleh menampung program Road to Gold (RTG) setahun.
“Dengan jumlah sama, Kerajaan memperuntukkan Geran Padanan Sukan (GPS) yang bernilai RM30 juta setahun untuk tempoh 10 tahun.
“Inisiatif GPS ini amat penting kerana ia merangsang pertumbuhan ekonomi sukan melalui penglibatan sektor swasta dalam penganjuran acara sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Hannah berkata, penganjuran tahunan Petronas Grand Prix of Malaysia ataupun MotoGP menarik kehadiran penonton hampir 185,000 orang.
“MotoGP menjana nilai tambah impak ekonomi sebanyak RM329 juta pada 2024 dan mencipta 4,463 peluang pekerjaan untuk rakyat negara,” katanya.
Katanya lagi, SIC juga menjadi destinasi pilihan untuk penganjuran acara-acara antarabangsa berprofil tinggi seperti SuperGT, Michelin 24H SERIES Middle East, GT World Challenge Asia dan Asia LeMans.
“SIC turut menjadi acara-acara perlumbaan tempatan seperti Malaysia Touring Car Championship (MTCC), Malaysian Cub Prix, Malaysia Superbike Championship (MSBK),” katanya. – MalaysiaGazette















