Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menunggu laporan penuh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum membuat keputusan sama ada beliau perlu memohon maaf kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, beliau menyerahkan kepada MCMC untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan kesahihan sumber yang dirujuk berhubung kenyataan yang dibuat di Parlimen baru-baru ini.

“Kita akan lihat kepada laporan MCMC. Dia (Muhyiddin) pun kena minta maaf banyak tuduhan dan fitnah dilempar.

“(Dengan berkata) Kerajaan zalim tak bagi peruntukan kepada Kelantan, beratus (tuduhan) yang disebut di Parlimen dan di luar Parlimen,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Undang-undang ASEAN 2025: Memperkasa Akses kepada Keadilan dalam Komuniti ASEAN: Menjambatani Kerjasama Perundangan untuk Pertumbuhan Inklusif dalam Era Digital di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Pada minggu lalu, Muhyiddin menuntut Anwar memohon maaf berhubung dakwaan kononnya beliau mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, sekiranya Perdana Menteri tidak meminta maaf, beliau akan membawa usul ke Dewan Rakyat untuk merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Sebelum ini, Anwar menyatakan kesediaannya untuk membuat permohonan maaf sekiranya terbukti kenyataan beliau itu tidak bersandarkan kepada sumber yang sahih.

Beliau menjelaskan kenyataan tersebut dibuat berdasarkan tiga sumber maklumat yang diterimanya, namun siasatan lanjut kini diserahkan kepada MCMC.

Dalam sidang Dewan Rakyat awal Ogos lalu, Anwar mendedahkan beliau menerima laporan bahawa ada Ahli Parlimen pembangkang mempertahankan hak warga asing dalam mendapatkan manfaat penyelarasan subsidi, yang kemudian merujuk kepada Ahli Parlimen Pagoh.

Bagaimanapun, Muhyiddin melalui satu hantaran di media sosial menafikan pernah mengeluarkan kenyataan mempertahankan warga asing berhubung isu tersebut.

Susulan itu, pada 6 Ogos lalu, Perdana Menteri mengarahkan MCMC menyiasat penafian Muhyiddin bagi mengesahkan kesahihan maklumat berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast