Zulkifli (berdiri empat dari belakang) bergambar bersama kanak-kanak yang hadir pada Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Agensi Hal Ehwal Agama 2025, Kompleks Islam di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Pihak-pihak yang membuat dakwaan tidak benar terhadap Tabung Haji (TH) perlu segera bertaubat dan memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, walaupun TH telah memberikan penjelasan berhubung isu penjenamaan semula, masih terdapat segelintir pihak yang menyebarkan berita palsu sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Apabila kita mendapat berita, perkara pertama yang kita perlu lakukan adalah tabayun untuk memastikan kesahihan.

“Kepada mereka yang menyebarkan berita palsu, yang menyebarkan fitnah, maka perkara pertama yang kena lakukan taubat. Mereka kena membetulkan fakta dan mereka perlu menyatakan keinsafan, bertaubat kepada Allah dan memohon maaf kepada pihak yang mereka fitnah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Agensi Hal Ehwal Agama 2025, Kompleks Islam, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, tindakan menyebarkan fitnah bukan sahaja memberi implikasi buruk kepada institusi Islam itu, malah boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan haji negara yang diiktiraf antara terbaik di dunia.

“Kita mahu melihat bahawa hal ehwal agama Tabung Haji kita terus cemerlang. Kita dapat saksikan bagaimana Tabung Haji merupakan salah satu ataupun mungkin yang terbaik di dunia dari segi pengurusan, kita mendapat anugerah Diamond Award dalam pengurusan haji.

“Jadi, itu pun kalau kita tak syukuri, apalah jadi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam supaya terus menyokong usaha Tabung Haji dalam memastikan perkhidmatan kepada jemaah haji berada pada tahap tertinggi.

Terdahulu, TH menafikan dakwaan ia membelanjakan RM20 juta bagi proses penjenamaan baharu (rebranding) sambil menegaskan ia merupakan fitnah.

TH memaklumkan perbelanjaan sebenar yang diperuntukkan untuk proses peremajaan jenama (brand rejuvenation) adalah RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun.

Katanya, usaha memperkukuh jenama telah dilaksanakan beberapa kali sebelum ini sebagai satu bentuk pelaburan penting bagi mengubah minda dan menarik minat umat Islam untuk menabung secara sistematik demi memenuhi syarat kemampuan menunaikan haji.

TH turut memaklumkan bahawa proses penjenamaan semula ini melibatkan tinjauan pasaran serta libat urus bersama pendeposit bagi memahami keperluan mereka dengan lebih baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Yg fitnah Tabung Haji tu ialah Rapizi Ramli, Siti Nurhaliza dan penyokong PH..sampai skrg DS Aziz Rahim tidak dihukum..maknanya dia difitnah! Jgn double standard laa..

  2. Rebranding kepala bapak dia… Rakyat Malaysia memang kebanyakan akan pilih TH sebab paling murah.. Nak mahal berlambak2 pakej haji swasta kat luar tu. Tu duit penyimpan bukan duit kerajaan bagi.

Comments are closed.