KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menyambut baik dapatan serta cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pelaburannya dalam FashionValet sebelum ini serta pendekatannya secara lebih luas terhadap pelaburan modal teroka (VC) domestik.
Sayap pelaburan negara itu dalam kenyataannya berkata, sepanjang sesi bersama PAC, ia telah mengambil peluang untuk menjelaskan strategi VC domestik mereka termasuk sifat pelaburan yang berisiko tinggi seperti FashionValet.
Selain itu, ia turut memberikan gambaran menyeluruh mengenai rangka kerja tadbir urus pelaburan secara keseluruhan yang merangkumi pendekatan kelulusan pelbagai peringkat serta semakan risiko dan urus niaga secara bebas.
“Seperti yang dinyatakan oleh PAC, strategi perniagaan FashionValet telah terkesan akibat kejutan luaran yang tidak dijangka, khususnya strategi omnichannel, selain daripada pandemik COVID-19 dan perubahan dalam tingkah laku pengguna.
“Walau bagaimanapun, kami mengakui penilaian PAC serta pengajaran yang diperoleh, termasuk syor untuk mempertingkatkan komunikasi awam mengenai strategi VC Khazanah, sifat berisikonya, serta peranan kami dalam memacu inovasi,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Khazanah kekal komited dalam menyokong ekosistem keusahawanan dan VC negara.
Jelasnya, walaupun pelaburan VC secara asasnya berisiko tinggi namun ia amat penting bagi merangsang inovasi, memupuk syarikat pemula (startup) dan seterusnya mengukuhkan daya saing jangka panjang negara.
Katanya, memandangkan sifat pelaburan VC yang berisiko, penilaian kejayaan sesuatu program pelaburan VC memerlukan pendekatan berasaskan portfolio, bukan hanya melihat kepada pelaburan secara individu.
Berhubung dengan proses dalaman, Khazanah menghargai panduan daripada PAC dan menyambut baik peluang untuk terus menambah baik serta memperkukuh proses yang sedia ada.
Ini termasuk mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Portfolio (PMC) setiap bulan bagi meneliti perkara termasuk pengurusan risiko, kemas kini syarikat dalam portfolio, serta ulasan penilaian (post-mortem) terhadap semua pelaburan Khazanah selain mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pelaburan secara tetap.
Khazanah akan terus berusaha mengimbangi disiplin kewangan dengan objektif pembangunan negara, berpandukan tadbir urus yang kukuh serta akauntabiliti yang jelas.
Pendekatan itu akan memastikan penciptaan nilai jangka panjang yang mampan, di samping memberi sumbangan positif kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia.
















