Tertuduh, Lee Teck Keong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini

KUANTAN – Seorang guru tarian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap salah seorang pelajarnya iaitu kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Tertuduh, Lee Teck Keong, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Azman Mustapha.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa bagi maksud seksual telah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak itu dengan memegang bahu dan pehanya pada 26 Julai lepas kira-kira pukul 3 petang di sebuah premis di Jalan Haji Ahmad, di sini.

Bagi kesalahan tersebut, Lee didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Anuarul Hakim Abdul Muen memohon Hakim supaya tertuduh tidak diberikan jaminan memandangkan tertuduh masih mempunyai akses mengajar tarian kepada ramai lagi pelajar di premis itu.

Katanya, pada hari kejadian, terdapat sembilan lagi pelajar perempuan seusia mangsa yang menghadiri kelas tarian tersebut dan kejadian sama dikhuatiri akan berulang.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Lim Kon Keen menjelaskan bahawa anak guamnya tidak akan mengganggu saksi atau mangsa sepanjang tempoh perbicaraan bagi menghormati proses perundangan dan meminta agar tertuduh diberikan jaminan dengan syarat-syarat bersesuaian.

Hakim memutuskan untuk membenar jaminan sebanyak RM7,000 dengan syarat tertuduh tidak berkomunikasi dengan mangsa, keluarga atau saksi. Jaminan juga boleh dibatalkan jika berlaku pelanggaran syarat yang ditetapkan.

Tarikh 30 September depan ditetapkan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast