Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Harga petrol RON95 yang dijangka turun sebanyak enam sen seliter bermula September ini, namun persoalan yang timbul ialah sama ada penurunan itu akan turut mempengaruhi harga barang.

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, berdasarkan pengalaman beliau, harga barang biasanya naik serta-merta apabila berlaku kenaikan harga bahan asas, namun perkara sebaliknya sukar untuk dijangka.

“Adakah harga barang akan turun apabila harga minyak turun enam sen bermula September ini? Susah nak cakap, tiada siapa yang tahu,” soalnya dalam satu video di Facebook beliau, hari ini.

Rafizi menjelaskan, kesan sebenar hanya dapat dilihat selepas beberapa bulan iaitu menjelang hujung tahun ini kerana harga pasaran terbuka dipengaruhi banyak faktor termasuk kos bahan mentah, kos pengeluaran serta persaingan.

“Apabila peniaga masing-masing telah menaikkan harga sebelum ini kerana peniaga lain pun menaikkan harga yang sama, jika kenaikan harga itu tidak menjejaskan permintaan dan pelanggan masih membeli, sukar untuk peniaga itu menurunkan harga,” jelasnya.

Tambah Rafizi, harga barang juga bergantung kepada keseluruhan rantaian bekalan daripada pengilang hingga ke peringkat pengguna akhir.

“Kecuali harga diturunkan dari pengilang iaitu kos di peringkat huluan, peniaga akan rasa sebarang penurunan harga minyak tidak membawa kesan kepadanya. Kos juga bergantung kepada kadar upah pekerja dan kos-kos lain,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pandan itu menekankan bahawa pengawalan harga memerlukan peranan semua pihak, termasuk kerajaan, peniaga dan pengguna.

“Kerajaan bertanggungjawab memastikan tiada kenaikan mendadak harga bahan asas yang berterusan kerana bahan-bahan asas kebanyakannya adalah barang terkawal,” katanya.

Sementara itu, Rafiiz berkata, kerajaan juga bertanggungjawab memastikan undang-undang berupaya menyekat amalan mengambil untung berlebihan yang memanipulasi pengguna.

Malah undang-undang ini katanya boleh dikuatkuasakan oleh kerajaan.

“Pengguna bertanggungjawab membeli barang dan perkhidmatan yang memberi nilai terbaik pada harga yang berpatutan. Peniaga yang memanipulasi pengguna dengan harga yang melampau wajar dihindari,” tambahnya.

Bagaimanapun kata Rafizi, keadaan menjadi rumit kerana negara masih belum mengamalkan ketelusan harga atau price transparency dalam urus niaga harian.

“Ketelusan harga ialah satu bidang dasar yang saya akan berikan tumpuan selepas ini, supaya Malaysia bergerak lebih cepat untuk menggalakkan amalan harga yang telus dalam ekonomi kita,” katanya.

Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak.

Anwar berkata, langkah itu tentunya bakal memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast