Jalur Gemilang

JOHOR BAHRU – Polis diminta menjalankan siasatan secara telus, profesional dan adil terhadap semua laporan berkaitan penghinaan Jalur Gemilang di seluruh negara.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor, Alias Rasman berkata, ini bagi memastikan setiap pihak terlibat dipertanggungjawab mengikut lunas undang-undang.

Tambahnya, jika tiada tindakan tegas diambil, kesalahan sedemikian akan terus berulang dan sekiranya tidak dibendung ia berisiko menjadi satu kebiasaan yang akhirnya akan melemahkan semangat cinta kepada negara terutama bagi generasi akan datang.

“Armada Bersatu Johor menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar soal kesilapan teknikal tetapi menyentuh maruah Jalur Gemilang yang menjadi simbol nasional, identiti kebangsaan dan kedaulatan negara.

“Tindakan pengibaran terbalik berulang kali, sama ada disengajakan atau tidak telah menimbulkan rasa jelik dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, rakyat berulang kali membuat laporan polis terhadap insiden-insiden seperti itu namun sehingga kini masih belum ada pendakwaan di mahkamah.

Justeru katanya, tindakan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) yang mengarahkan sebuah klinik gigi swasta ditutup ditutup kerana memasang Jalur Gemilang secara terbalik adalah satu mesej tegas.

Ini kerana katanya, Jalur Gemilang adalah simbol negara yang tidak boleh dipermainkan oleh sesiapa sekali gus pihkanya membidas tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mempertikaikan keputusan tersebut.

Alias Rasman

“Armada Bersatu Johor memandang serius laporan media hari ini bahawa DAPSY mendesak kerajaan negeri campur tangan mengarahkan MPPn menarik balik tindakan menutup sebuah klinik gigi tersebut.

“DAPSY berhujah bahawa hukuman tersebut tidak selari dengan prinsip proportionality. Namun sebelum bercakap soal proportionality, DAPSY seharusnya menghormati terlebih dahulu prinsip pencegahan (deterrence) dalam penghukuman yang termaktub di bawah undang-undang,” ujarnya.

Menurutnya, maruah Jalur Gemilang tidak boleh sama sekali diperlekehkan dan mempertahankan maruah bendera Malaysia bukan sifat ekstremis.

“Ini adalah tanda cinta pada tanah air. Setiap penghinaan terhadapnya mesti ditangani dengan tindakan tegas berlandaskan undang-undang agar menjadi pengajaran dan pencegahan daripada berulang lagi,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast