KUALA LUMPUR – Bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim mempersoalkan tindakan pihak berkuasa terhadap penemuan batu berukir wajah pemimpin komunis China, Mao Zedong di sebuah tanah perkuburan Cina di Semenyih, Selangor pada Februari lalu.
Malah Rais mendakwa terdapat usaha halus menyerapkan unsur komunisme di tanah air dan menggesa pihak berkuasa tidak memandang ringan perkara itu.
“Susulan lagi tentang resapan Komunis di tanah air kita.
“Di tanah perkuburan Cina di Semenyih, Selangor bapak komunis Mao Zedong dipaparkan dalam ukiran batu (diimport dari Cina – bagaimana lepas?). Dalam tulisan ukiran Cina sebelah kanan wajah Mao itu ialah sajak komunis yang mengimbau ledakan suasana perjuangan mereka,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Rais mendakwa polis telah menerima maklumat berhubung perkara itu daripada masyarakat setempat, namun beliau tertanya-tanya sejauh mana siasatan dijalankan.
“Khabarnya polis dah buat sesuatu selepas maklumat rakyat Tionghua tempatan sendiri. Tapi PDRM buat apa ye?
“Jangan tak tahu kedahsyatan komunis. Mereka menjadikan rakyat sebagai tentera transformasi ke arah anti Islam, ke arah sistem tanpa raja. Mereka menundukkan rakyat untuk STATE POWER – di bawah telunjuk Pulitbiro dan Setiausaha Agungnya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa ancaman komunis tidak boleh dipandang remeh kerana ideologi itu pernah menggugat keselamatan negara dan mengorbankan banyak nyawa suatu ketika dahulu.
“Gara-gara komunis masuk tanah air kita banyak sudah dihuraikan termasuk dari pihak saya sendiri. Peliknya saya disoal siasat. Persatuan One Cina masih bersiul-siul,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Rais meminta pemimpin kerajaan memantau institusi pendidikan supaya tidak menjadi saluran penyebaran ideologi asing yang merbahaya.
“Menteri Pelajaran, Menteri Pengajian Tinggi awasi murid SRJKC tertentu. Awasi universiti Xiamen di Sepang tu. Jangan sibuk ngampu saja. Projek ini diluluskan Bosku 2012. Takda negara yang lepas dari cengkaman komunis Cina,” katanya.
Latar belakang menunjukkan Parti Komunis Malaya pernah mencetuskan darurat di Tanah Melayu dari 1948 hingga 1960, sebelum akhirnya menandatangani Perjanjian Damai Haadyai pada 1989.
Namun isu pengaruh komunisme kembali diperdebatkan apabila wujud simbol atau kegiatan yang dikaitkan dengan ideologi itu.
Rais menegaskan pihak berkuasa perlu bertindak tegas dan tidak membiarkan sebarang tanda kebangkitan komunisme dibiarkan begitu sahaja.
“Para Tuanku… jangan hanya titah berkumandang, kuasa negara lucut di tangan,” katanya.
Februari lalu, polis mendedahkan pihaknya memulakan siasatan berhubung kewujudan ukiran wajah bekas Pengerusi Parti Komunis China bersama petikan puisi berkenaan ideologi komunisme di sebuah taman memorial di Semenyih.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kertas siasatan dibuka selepas menerima laporan berkenaan perkara itu.
Sebelum ini, tular di media sosial satu klip video berdurasi dua minit 12 saat memaparkan seorang wanita dipercayai warga tempatan menterjemahkan puisi berbahasa China pada ukiran berkenaan.
Wanita itu mendakwa, rakyat China dipaksa untuk menghafal puisi berkenanaan seterusnya berkata, puisi berkenaan mempunyai fakta sejarah yang diubah bagi menampakkan kehebatan Mao Zedong berbanding pemimpin lain. – MalaysiaGazette
















