Tabung Haji TH
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan daripada penyebaran beberapa video berunsur fitnah dan hasutan di laman sosial.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata hantaran video dengan provokasi dan tuduhan melulu terutamanya berkaitan inisiatif penjenamaan dan tadbir urus TH boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat umum.

Beliau sekali lagi menjelaskan, pelaksanaan pelan penjenamaan adalah usaha untuk memperkasakan semula peranan TH sebagai institusi simpanan orang Islam agar mereka dapat mengembangkan simpanan dan menunaikan ibadat haji.

Tegasnya, TH ditubuhkan dengan niat utama untuk umat Islam Malaysia menabung dan menyempurnakan simpanan bagi tujuan haji.

Namun kebelakangan ini, TH lebih dikenali bagi perkhidmatan haji dan pada masa yang sama, kos mengerjakan haji kian meningkat tetapi kadar simpanan pendeposit tidak berkembang.

Kebanyakan pendeposit tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk mengerjakan ibadat haji.

Justeru, bagi menangani masalah tersebut, TH sedang melaksanakan inisiatif penjenamaan untuk memperkasakan TH sebagai institusi simpanan Islam pilihan dimana umat Islam kekal menabung secara sistematik dan konsisten.

Bagi mencapai matlamat ini, TH memerlukan kepakaran teknikal yang bersesuaian dan amalan ini adalah sama seperti contoh-contoh daripada sejarah Islam.

“Pengurusan TH dan urusan ibadat haji tetap dikendalikan oleh pasukan pengurusan yang 100 peratus bumiputera Muslim tetapi pelbagai sokongan teknikal diperlukan bagi inisiatif penjenamaan yang kompleks ini dan dibekalkan oleh konsortium yang dibentuk oleh TH.

“TH perlu menjadi sebuah institusi simpanan yang berpaksikan pelanggan dan ini memerlukan evolusi strategi operasi dan jenama yang relevan, efektif dan bersesuaian dengan perubahan demografi yang dinamik,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sehubungan itu tegasnya, TH memandang serius penularan video seumpama itu dan sedang melaksanakan pemantauan rapat terhadap sebarang hantaran di media sosial sama ada video atau penulisan yang cuba menghasut masyarakat dengan maklumat tidak benar yang boleh mencemarkan imej organisasi berkenaan.

TH juga katanya, akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat bagi melengkapkan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu dan pemilik akaun media sosial yang membuat hantaran berunsur hasutan mengikut lunas undang-undang.

Ia juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang dikongsikan yang tidak dapat dipastikan kesahihan sumbernya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast