KUALA LUMPUR – Suria FM berjaya mengekalkan kedudukan sebagai stesen radio pilihan rakyat Malaysia selepas mencatat 3.3 juta pendengar bulanan bagi tempoh Januari hingga Disember 2024.
Berdasarkan laporan Nielsen Consumer & Media View (CMW), Suria FM kini berada di kedudukan tiga teratas untuk Stesen Radio Bahasa Melayu di Semenanjung Malaysia.
Kejayaan ini turut mempengaruhi prestasi digital luar biasa di mana sepanjang tahun lalu, Suria FM meraih lebih 113 juta tontonan video, 53 juta pendengar digital, 32 juta paparan dan skrin halaman serta 5.84 juta pengikut aktif di pelbagai platform.
Mengulas lanjut berkenaan pencapaian stesen radio tersebut, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih DJ Lin meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada pendengar atas kesetiaan terhadap Suria FM.
“Kami amat menghargai kepercayaan jutaan pendengar dan pengguna digital yang memilih Suria FM sebagai teman hiburan harian.
“Sokongan ini menjadi dorongan untuk kami terus menghasilkan kandungan segar, relevan dan dekat di hati rakyat Malaysia. Kejayaan ini hasil kerja keras seluruh warga Suria FM yang komited memberi pengalaman terbaik kepada pendengar.
“Kami turut mengucapkan terima kasih atas sokongan padu anda yang merupakan pemangkin semangat untuk terus menjadikan Suria FM sebagai jenama radio pilihan anda,” katanya. – MalaysiaGazette
















