KUANTAN – Seorang warga emas maut apabila motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah lori di kilometer 36, Jalan Lipis-Koyan di Kampung Tanjung Gahai, Lipis semalam.
Ketika kejadian, dalam kejadian jam 7.10 petang, Mukhtar Mamat, 66, dikatakan bergerak dari sebuah kedai makan di Kampung Ladang Bukit Puteri menuju ke rumahnya.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, pemandu lori yang merupakan pemastautin tetap berusia 54 tahun pula dalam perjalanan dari arah Kampung Tanjung Gahai menuju ke bandar Lipis selepas menghantar perabot.
“Apabila sampai di tempat kejadian, semasa lori sedang bergerak lurus tiba-tiba motosikal dinaiki mangsa dari arah bertentangan hilang kawalan lalu masuk ke laluan lori,” katanya dalam kenyataan.
Berikutan jarak yang terlalu dekat, beliau berkata, lori terbabit tidak sempat mengelak lalu kedua-dua kenderaan berkenaan bertembung.
Akibat kemalangan, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan.
Ismail berkata, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan beliau menyeru mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian untuk tampil membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















