Fadzli Mohamad Kamal

KUANTAN – Program Pemerkasaan Persatuan Belia (Youth Empowerment Society – YES) Negeri Pahang 2025 diteruskan tahun ini sebagai salah satu usaha menggilap pemimpin pelapis negeri yang berwibawa.

Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, program itu bukan sekadar sebuah latihan kepimpinan, tetapi merupakan pelaburan strategik Kerajaan Negeri dalam menyediakan modal insan berkualiti tinggi untuk masa hadapan.

“Penganjuran YES Pahang 2025 bermula dengan Bengkel Pemurnian Modul diikuti Bengkel Training of Trainers (T.O.T) bagi melahirkan fasilitator YES Pahang 2025.

“Kejayaan edisi YES Pahang 2024 membuktikan keberkesanan program ini apabila peserta cemerlang terdahulu kini diberi kepercayaan menjadi fasilitator muda, sekali gus menyumbang kepakaran mereka dalam pembangunan belia,” katanya dalam kenyataan.

Fadzli berkata, pelaksanaan program itu akan dilaksanakan secara berfasa bermula bulan ini sehingga bulan Oktober nanti.

Seramai 330 peserta terdiri daripada belia berumur antara 18 hingga 28 tahun yang merupakan anak jati Pahang atau pengundi sah negeri ini dilaporkan terlibat mewakili 11 daerah.

“Bagi peringkat Daerah , hanya 10 terbaik setiap daerah dipilih ke peringkat seterusnya melalui penilaian bertulis dan pemerhatian oleh Pegawai Belia Dan Sukan Daerah.

“Peringkat Zon akan bermula September depan melibatkan tiga zon utama iaitu Timur (Rompin, Pekan, Kuantan), Tengah (Maran, Temerloh, Bera, Jerantut) dan Barat (Bentong, Raub, Lipis, Cameron Highlands).

“Seramai 120 peserta terbaik akan menyertai latihan insentif 3 hari di daerah Rompin, Maran dan Raub selaku tuan rumah,” tambahnya.

Seterusnya, beliau berkata, seramai 60 peserta terbaik mewakili ketiga-tiga zon berkumpul selama empat hari sebagai kemuncak program pada bulan Oktober nanti untuk dinilai sebagai pemimpin belia Pahang yang berwibawa, matang dan berdaya saing.

Selain menjadi fasilitator dan jurulatih YES Pahang, kesemua belia yang terpilih itu kelak katanya berpeluang dicalonkan dalam pelbagai program Ikon Negeri dan akses kepada program elit negeri.

Tambah Fadzli, model pembangunan belia ini juga berpotensi diangkat sebagai rujukan kebangsaan pada masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast