KUALA LUMPUR – Makar Fest bukan sekadar karnival makanan dan gaya hidup sebaliknya bakal turut menganjurkan Kempen Antibuli yang semakin menjadi bualan dalam masyarakat ketika ini atas rasa tanggungjawab sosial.
Penganjurnya yang juga selebriti popular, Issey Fazlisham berkata, kempen itu sebagai satu inisiatif prihatin dan sayang kepada negara di mana buli adalah satu jenayah yang semakin berleluasa dan perlu dihentikan.
Menurutnya yang juga penganjur bersama Red Bean Productions, menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-68 tidak lama lagi, tiada erti kemerdekaan sekiranya masyarakat masih dibelenggu jenayah buli itu.
“Jadi, Kempen Antbuli ini mahu mengajak orang ramai mengatakan tidak kepada buli kerana ia bukan budaya kita.
“Di Makar Fest, khalayak kita adalah keluarga dan orang muda di mana suara mereka ini penting kerana merekalah penyambung generasi akan datang.
“Kami akan tunjukkan bahawa kami sebagai penganjur, jenayah buli perlu dibenci oleh masyarakat sambil kita sama-sama meraikan erti kemerdekaan,” katanya pada sidang media Makar Fest di sini hari ini.

Makar Fest akan berlangsung di KotaJail, Johor Bahru bermula pada 29 Ogos selama empat hari ini.
Pelbagai aktivitu diadakan adalah seperti Break the Silence (Rap, Dance & Grafiti Show), Malam Kebudayaan Makar Fest, Pesta Makar Fest (Indie Band), Family Got Talent, pertandingan mewarna wau bulan dan banyak lagi.
Paling menarik adalah pementasan teater, Teater Dalam Penjara arahan pelakon prolifik, Sabri Yunus bagi menyemarakkan lagi rasa cintakan negara.
Menurut Issey, teater yang sarat dengan mesej positif itu yang mampu menaikkan lagi semangat patriotisme para pengunjung yang hadir.
“Dalam Makar Fest kali ini, kelainan yang saya bawakan adalah pementasan teater yang bertajuk Teater Dalam Penjara sebenar yang pertama di Malaysia.
“Apa yang menarik, teater ini dipentaskan betul-betul dalam penjara iaitu di KotaJail.
“Mungkin ada yang belum tahu, KotaJail merupakan penjara keempat tertua di Malaysia yang berusia lebih 100 tahun yang dahulunya menempatkan ramai banduan.
“Bayangkan, kami pentaskan teater tersebut dalam penjara yang kini dinaiktaraf sebagai tempat pelancongan yang baru di Johor Bahru.
“Jadi, orang ramai yang datang ke Makar Fest dan menonton teater ini boleh merasai sendiri perasaan dan pengalaman bagaimana banduan duduk dalam penjara,” katanya. – MalaysiaGazette

















