KUALA LUMPUR – Semua perkhidmatan rel merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel serta Bas Rapid Transit (BRT) laluan Sunway akan beroperasi 24 jam selama dua hari iaitu pada 30 dan 31 Ogos ini bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025, kata Rapid KL.
Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas di laluan terpilih menerusi Rapid KL On-Demand (ROD) dengan sebanyak 96 bas perantara percuma disedikan untuk ke Dataran Putrajaya yang menjadi lokasi utama sambutan Hari Kebangsaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Amir Hamdan berkata, inisiatif itu dibuat susulan kejayaan operasi 24 jam yang pertama kali diperkenalkan pada tahun lepas.
“Bagi menyokong usaha kerajaan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa Rapid KL akan beroperasi selama 24 jam bagi semua perkhidmatan rel Rapid KL, BRT Laluan Sunway, beberapa laluan bas, serta enam zon ROD terpilih.
“Operasi khas ini merangkumi perkhidmatan tren bagi semua laluan LRT, MRT dan Monorel Rapid KL
“Bagi perkhidmatan bas, sebanyak 86 laluan membabitkan 235 buah bas akan beroperasi pada malam Ambang Merdeka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Kempen Denyut Nadi Merdeka dan Pengumuman Operasi Rapid KL Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang disempurnakan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di LRT Pasar Seni, di sini hari ini.
Terdahulu, Fahmi bersama wakil pengurusan Prasarana menyantuni penumpang yang menggunakan perkhidmatan LRT di stesen Bangsar dan Pasar Seni.
Fahmi mengambil kesempatan mengedarkan Jalur Gemilang dengan acara turut diisi dengan nyanyian lagu rakyat dan persembahan kebudayaan.
Mengulas lanjut Amir berkata, jumlah laluan bas ditingkatkan kepada 100 laluan dengan 308 buah bas pada Hari Kebangsaan.
Katanya, sebanyak enam zon Rapid KL On-Demand (ROD) dengan 20 buah van disediakan untuk kemudahan pengguna.
Pengguna yang ingin menggunakan perkhidmatan ini boleh membuat tempahan ROD melalui aplikasi MyRapid PULSE dengan bayaran RM1.
Mengulas mengenai kempen ‘Denyut Nadi Merdeka’ yang dilancarkan hari ini, Amir berkata, ia antara usaha berterusan Rapid KL untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan penumpang dan seluruh rakyat Malaysia.
Ujarnya, Rapid KL meneruskan kesinambungan kolaborasi strategik bersama LOCCO dalam penganjuran acara ikonik ‘Keretapi Sarong 2025’ sempena sambutan Hari Malaysia.
Acara itu akan berlangsung di lapan buah stesen tren Rapid KL dengan pelbagai aktiviti budaya dan aktivasi mini bagi meraikan kepelbagaian rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette
















