Pengerusi PERKEP Kuala Lumpur, Datin Nurashidah Ishak dan Perunding Imej di Air Asia, Tengku Rosmita Tengku Jusoh bergambar bersama selepas hadir ke Program 'Inpirasi: Wanita Luar Biasa' di WTC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 24 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Dua figura wanita, Datin Nurashidah Ishak iaitu Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur dan Tengku Rosmita Tengku Jusoh, Regional Grooming Specialist AirAsia dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon of The Year 2025 pada Karnival Inspirasi Wanita Luar Biasa 2025 anjuran Jelita Malaysia.

Penganugerahan julung kali ini berlangsung di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, bersempena karnival bertemakan ‘Dari Wanita Untuk Wanita’ dengan kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Bagi Nurashidah, pengiktirafan ini bukan sahaja untuk dirinya, tetapi buat seluruh keluarga besar PERKEP Malaysia yang menjadi tulang belakang kepada anggota polis.

“Sebagai seorang wanita, kita tidak boleh lemah sebab kita adalah tunjang segala-galanya. Walaupun masa bersama suami anggota polis itu sangat terbatas, kita mesti berdikari, urus sendiri dan tetap bersemangat.

“Kalau kita lemah, runtuhlah semangat seluruh keluarga,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad menyampaikan Anugerah Wanita Luar Biasa kepada Pengerusi PERKEP Kuala Lumpur, Datin Nurashidah Ishak ketika hadir ke Program ‘Inpirasi: Wanita Luar Biasa’ di WTC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 24 OGOS 2025

Sambungnya, kecekalan wanita sering diuji sama ada sebagai ibu, isteri, pemimpin organisasi atau insan yang bergelar wanita itu sendiri.

“Cabaran sentiasa ada, terutama bila berperanan sebagai isteri anggota polis. Namun, saya percaya setiap wanita ada kekuatan luar biasa dalam diri.

“Cuma kadang-kadang kita terlepas pandang. Jika diberi peluang, saya yakin lebih ramai wanita mampu buktikan mereka layak menerima pengiktirafan seperti ini,” tambahnya.

Jelas beliau, PERKEP, bukan sekadar persatuan tetapi sebuah keluarga yang sentiasa menekankan kebajikan dan nilai kekeluargaan.

Aktiviti seperti lawatan ke rumah anak-anak istimewa, keluarga balu dan anggota yang sakit menjadi bukti sokongan moral yang berterusan.

Sementara itu, penerima kedua, Tengku Rosmita yang mesra disapa Kak Ros meluahkan rasa syukur dan terharu kerana dinilai sebagai wanita luar biasa.

“Saya tidak sangka, seorang gadis kampung tanpa nama, mampu sampai ke tahap ini. Dahulu saya hanya berangan mahu jadi pramugari, pembaca berita, penyanyi. Tapi saya nekad, usaha bersungguh-sungguh dan hari ini saya berdiri di sini. Nothing is impossible,” katanya dengan penuh emosi.

Perunding Imej di Air Asia, Tengku Rosmita Tengku Jusoh bercakap ketika ditemubual selepas hadir ke Program ‘Inpirasi: Wanita Luar Biasa’ di WTC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 24 OGOS 2025

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan memerlukan masa, disiplin dan keberanian untuk bangkit daripada kegagalan.

“Jika mahukan sesuatu yang berharga, kita perlu bekerja keras. Tiada jalan pintas. Saya percaya grooming, keterampilan diri, keyakinan semua itu boleh ubah hidup seseorang daripada zero kepada hero.

“Ia bukan sekadar untuk kerjaya, tapi juga untuk harga diri wanita,” ujarnya.

Sebagai pakar grooming, beliau aktif membimbing gadis-gadis muda yang bercita-cita menjadi pramugari, memberi tunjuk ajar bukan sahaja tentang kecantikan luaran tetapi juga keyakinan dalaman.

“Keberanian itu penting. Ramai yang mesej saya, cakap nak jadi pramugari, tapi tak tahu nak mula di mana. Saya faham sebab saya pernah berada di tempat mereka.

“Sebab itu saya mahu bantu ajar cara bercakap, cara membawa diri, jaga keterampilan. Semua itu boleh mengubah kehidupan,” jelasnya.

Kedua-dua penerima sependapat bahawa setiap wanita adalah luar biasa apabila diberi peluang dan ruang untuk menyerlahkan potensi diri.

Karnival Inspirasi Wanita Luar Biasa 2025 turut menjadi platform bagi perkongsian pengalaman, motivasi serta pengiktirafan kepada wanita dari pelbagai latar belakang yang berani mencabar batas diri. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast