MELAKA – Pelakon terkenal China, Fan Bingbing dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran ‘Datuk’ bersempena sambutan ulang tahun ke-76 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Pelakon berusia 43 tahun itu merupakan salah seorang daripada 473 penerima darjah kebesaran yang berlangsung di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Dilantik sebagai Duta Persahabatan Pelancongan Melaka pada Mei 2024, Fan telah membantu menjana lebih 1.5 bilion capaian untuk Melaka melalui WeChat, platform media sosial terbesar di China.
Sementara itu, ketika ditanya pemberita, pelakon filem antarabangsa itu turut memberi bayangan bahawa beliau akan kembali ke Melaka pada September ini bagi menjalankan beberapa “kerja baharu.”
“Saya juga berharap dapat membawa lebih banyak berita gembira untuk Melaka,” katanya ringkas kepada pemberita di Seri Negeri di sini hari ini .
Beliau yang mempunyai kira-kira 63 juta pengikut di Weibo (platform media sosial China seumpama X) dan 4.1 juta pengikut di Instagram, sering dikaitkan dengan budaya China di peringkat global.
Selain membintangi filem-filem China, Fan turut terlibat dalam produksi antarabangsa seperti filem adiwira Hollywood X-Men: Days of Future Past, serta filem Perancis dan Korea.
Beliau juga pernah menghiasi kulit majalah Time pada tahun 2017 dan dinamakan sebagai antara 100 Individu Paling Berpengaruh di Dunia. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















