Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan orang ramai supaya kekal tenang susulan kejadian gempa bumi yang berlaku di Segamat, Johor awal pagi tadi.

Dalam masa sama, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara menyeru orang ramai hanya merujuk kepada maklumat rasmi daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung bencana alam tersebut.

Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengelak daripada menyebarkan berita yang tidak sahih berhubung kejadian tersebut yang boleh menimbulkan kekeliruan.

“Saya mengambil maklum mengenai kejadian gempa bumi lemah yang dilaporkan berlaku di Segamat, Johor awal pagi tadi.

“Malaysian Meteorological Department (MET Malaysia) kini sedang menjalankan pemantauan susulan dan akan mengeluarkan maklumat dari semasa ke semasa,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Awal pagi tadi, Segamat digegarkan dengan gempa bumi bermagnitud 4.1 yang berlaku pukul 6.13 pagi, namun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.

Ia kemudian disusuli dengan dua gegaran gempa bumi termasuk di Kluang sekitar pukul 9 pagi, yang direkodkan dengan magnitud 2.8 pada jarak kira-kira 28 kilometer barat laut daerah Kluang.

Menurut MetMalaysia, gegaran itu turut dirasai di beberapa kawasan di Johor; Negeri Sembilan; Melaka dan selatan Pahang, namun tiada ancaman tsunami kepada Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast