Saniman menunjukkan bahagian siling surau yang jatuh dalam ruang solat di Kampung Sanglang, Buloh Kasap, Segamat, hari ini.

SEGAMAT – Jemaah Surau Kampung Sanglang, Buloh Kasap di sini berdepan detik cemas semasa gempa bumi berlaku pada pukul 6.13 pagi tadi.

Imam surau, Saniman Abdul Samad, 63, berkata, semasa gegaran berlaku, mereka berada solat Subuh dah hampir menyelesaikannya sebelum dikejutkan dengan gegaran tersebut.

“Ketika kejadian, kami semua tengah tahiyat akhir. Sebelum memberi salam, kami rasakan gegaran yang agak kuat. Selepas itu bunyi dentuman kuat.

“Kami semua terkejut dan kemudian nampak skirting (kemasan) siling surau jatuh di dalam ruang solat. Mujur tidak kena jemaah ketika solat.

“Ia adalah pengalaman pertama saya merasa gempa bumi lebih-lebih lagi ketika sedang solat,” katanya ketika ditemui di Kampung Sanglang hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku dan semua jemaah selamat.

Katanya, polis dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) hadir ke lokasi bagi meninjau keadaan selepas kejadian tersebut.

Sementara itu, jemaah di Surau Batu 2, Kampung Tengai di sini turut gempar apabila merasai gegaran kuat.

Imam surau berkenaan, Mohd Johan Hassan, 58, berkata, kejadian berlaku ketika jemaah sedang solat.

“Semasa rakaat pertama, ketika bacaan surah al-Mulk ayat ke-8, saya terasa lantai bergegar kuat. Macam ada benda hendak jatuh, lantai pun terasa bergegar tetapi kami tetap teruskan solat,” katanya.

Dia berkata, sebelum ini, ada mendengar rakan-rakan menceritakan ada gegaran di Segamat namun tidak pernah mengalaminya sendiri.

“Ini pertama kali saya mengalami situasi seumpama ini. Selepas solat, barulah kami menyedari ia kesan daripada gegaran gempa bumi yang berlaku di Segamat,” jelasnya.

Terdahulu, gegaran pertama bermagnitud 4.1 dilaporkan berlaku di daerah ini pada pukul 6.13 pagi tadi sebelum sekali lagi berlaku kira-kira pukul 9 pagi.

Pada masa sama, gegaran bermagnitud 2.8 direkodkan berlaku di Kluang juga pada pukul 9 pagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bunyi kuat disangka guruh rupanya gempa bumi – Penduduk

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast