KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, laporan mengenai kehilangan mangsa, Varsha Arumugam, 14, diterima kira-kira jam 7.18 malam pada Jumaat.
“Remaja berkenaan dipercayai kali terakhir berada di kawasan PPR tersebut sekitar jam 3 petang. Buat masa ini, usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan itu diminta segera menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan menerusi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau terus menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Irfan Emir Mohd. Alwi di talian 016-5379507,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















