Kolej Komuniti Segamat

KUALA LUMPUR – Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Segamat mendapati terdapat keretakan kecil pada dinding bangunan dan beberapa ruang bahagian dalam Kolej Komuniti Segamat (KKS) berikutan gempa bumi lemah dengan magnitud 4.1 semalam.

Namun keretakan itu tidak melibatkan kerosakan pada struktur dan bahagian rasuk struktur bangunan.

“Bagaimanapun, satu siasatan forensik bangunan akan dilaksanakan dengan lebih temperinci dalam masa yang terdekat dengan melibatkan daripada pihak JKR daerah Johor Bahru,” kata Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

Susulan penemuan ini, KKS diberi pelepasan untuk melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan bekerja dari rumah (BDR) bermula 25 hingga 27 Ogos 2025 sebagai langkah keselamatan awal.

Sementara itu, Kolej Komuniti Segamat 2 (KKS2) turut dikunjungi oleh JKR daerah Segamat bagi menjalankan pemeriksaan bangunan terutama di dua blok asrama yang menempatkan lebih kurang 200 orang pelajar.

KKS2 turut diberi pelepasan untuk menjalankan sesi PdP secara dalam talian bagi tempoh sama.

“Pelajar telah diarahkan pulang bagi memberi ruang kepada kerja-kerja pemeriksaan bangunan dengan lebih lanjut, namun demikian operasi pejabat akan berjalan seperti biasa.

“Pihak jabatan akan terus memantau rapat keadaan ini bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kelancaran operasi institusi terus terjamin,” ujarnya.

Gempa bumi lemah itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer pada jam 6.13 pagi.

Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast