BAYAN LEPAS – Seorang penunggang motosikal warga Perancis maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori sampah di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Astaka Seagate, di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira jam 10 pagi, mengakibatkan lelaki berusia 53 tahun itu maut di lokasi kejadian selepas disyaki mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
MalaysiaGazette difahamkan, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha NMAX itu dari arah lampu isyarat Kilang Plexus menghala ke Batu Maung.
Bagaimanapun, sebaik keluar dari simpang tiga lampu isyarat tersebut mangsa dikatakan membelok ke kanan dan memasuki lorong kiri sebelum bertembung dengan lori sampah yang sedang bergerak lurus dari arah George Town menuju Batu Maung.
Impak pelanggaran menyebabkan mangsa terjatuh sebelum terperosok ke bawah lori berkenaan.
Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Difahamkan, mangsa menetap di sini bersama isteri dan anak serta menjalankan perniagaan import eksport.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. – MalaysiaGazette
















